fbpx
IFA RAZIAH

Ifa Raziah kebal, tak tunduk dengan ancaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TEMPOH 27 tahun bergelumang dalam industri seni hiburan cukup meneguhkan jiwa penyanyi yang juga pengacara sensasi, Ifa Raziah untuk kalis kebencian umum.

Dia tidak goyah biarpun di kiri kanannya ada sahaja yang mahu menerjang.

Melalui pelbagai pengalaman jatuh bangun dalam industri, hari ini selebriti berusia 47 tahun itu ibaratnya kebal tak tunduk dengan ancaman.

Belum terfikir untuk meletakkan titik noktah dalam kerjaya seninya, kata Ifa, dia tidak akan berhenti daripada terus menjadi seorang penghibur.

Dia yakin dengan bakat dan minat mendalamnya yang tidak pernah luntur.

ALAH bisa tegal biasa. Ifa menganggap segala kontroversi yang tercetus sekadar perkara biasa dan bukan suatu kesalahan jenayah yang harus diperbesarkan.

“Pada saya semakin tinggi pokok, semakin kuat angin menggoncang, jadi kenapa saya harus mengalah?

“Jika ada bakat dan minat, kemudian dicurahkan dengan sepenuh hati dalam kerjaya, pasti akan berjaya.

“Pedulikan bisikan ‘puaka’. Apa yang penting akhirnya kita di mana? Saya sentiasa berserah kepada Allah SWT, namun tidak sekali-kali pernah ada perkataan mengalah,” katanya kepada HibGlam.

Penghibur

Berbicara tentang kecaman, pemilik nama lengkap Saripah Raziah Mustapha itu sudah lali dengan segala perkara negatif yang selalu melekat pada namanya.

Ada sahaja topik yang dibangkitkan netizen bagi mencari kesalahannya sebagai seorang pendangdut sepertinya.

Netizen pula seolah-olah melihat statusnya sebagai penyanyi dangdut yang tidak boleh lari daripada bergelek ketika persembahan sebagai kesalahan yang perlu diberikan hukuman.

Jarang berdiam diri, setiap isu yang dibangkitkan pasti dipertahankan Ifa.

Namun, biarpun ‘berbuih mulutnya’ memberi penjelasan kepada netizen, namun cacian dan kecaman tidak mudah reda.

Kata Ifa, sebagai penghibur, pendangdut khususnya, itulah cara dia bekerja dan mencari makan.

IFA percaya pada kuasa doa dan selalu menadah tangan untuk mengharapkan rezekinya akan melimpah ruah.

“Memang selama ini orang bayar saya untuk buat persembahan. Kenapa selama ini tidak ada sesiapa yang mempertikaikannya?

“Orang bukan suka-suka bayar kalau saya tidak boleh menjadi pengacara atau penghibur di sesebuah majlis.

“Pekerjaan ini yang saya buat sejak 27 tahun lalu.

“Kalau tidak, pihak stesen TV3 tidak akan bayar saya untuk jadi pengacara rancangan Wanita Hari Ini selama tiga tahun dan menjadi pengacara Jom Singgah selama lima tahun,” tegas Ifa menjelaskan kritikan netizen berhubung sebuah video tular memaparkan aksinya bergelek dalam sebuah majlis aqiqah baru-baru ini.

‘Menyalak’

Dalam pada itu, Ifa mengakui sepatutnya dia tidak perlu bersusah payah menerangkan sesuatu isu bagi memuaskan hati khalayak.

Bagi Ifa, dia bukanlah melakukan kesalahan besar yang boleh dianggap sebagai penjenayah. Dia juga sedar, golongan pembencinya hanyalah bersifat minoriti.

“Dalam dunia ini ada macam-macam pilihan. Kita tidak perlu hendak puaskan hati semua orang. Mereka yang ‘menyalak’ dalam dunia maya itu mungkin hanya 10 hingga 20 peratus yang tidak suka saya.

“Sementara, 80 atau 90 peratus pula mungkin yang suka kita, tidak tulis apa pun. Dalam hati sentiasa memuji walaupun tidak berbunyi,” tuturnya.

Biarpun selalu menjadi mangsa kecaman orang ramai, Ifa membuktikan dirinya masih lagi mampu berjaya bukan sahaja dalam kerjaya seni, bahkan sebagai seorang usahawan.

Rezeki Allah

Buktinya, Ifa yang mula berkecimpung dalam dunia seni sejak tahun 1996 itu telah meraih pelbagai penghargaan seperti Malaysia Best Business Award 2022, Ikon Malaysia, Icon Top Brand, Nona Superwoman dan Nona Entrepreneur Award 2022 yang dianugerahkan tanpa perlu dibeli dengan wang ringgit.

“Apa yang saya lakukan, niat saya, apa yang mendorong saya hanya Allah SWT yang tahu. Orang ramai hanya tahu menghukum.

“Mereka tidak nampak amalan-amalan saya. Kalau saya jutawan sekali pun, semua yang saya miliki ini adalah pinjaman milik Allah.

“Rezeki yang Allah beri bukan semuanya milik saya. Ada yang diberi untuk keluarga, ejen, para pekerja dan keluarga mereka. Jangan meragui kuasa doa.

“Sentiasalah berdoa. Sekalipun kalau tidak dapat hari ini, mungkin hari-hari seterusnya,” jelas Ifa.

ADAT menjadi seseorang yang berjaya, Ifa tidak terlepas daripada menjadi mangsa cemburu orang dalam industri apabila pernah ditikam dari belakang oleh rakan sendiri.

Meskipun begitu, Ifa melahirkan rasa syukur dan gembira apabila dia masih menjadi pilihan pihak stesen televisyen yang memberi kepercayaan untuk menjayakan sebuah program baharu berjudul Terpaling Juara terbitan TV3.

Ifa menyertai program televisyen berkenaan sebagai peserta bertanding.

Kata pelakon itu sebelum menutup perbualan, dia begitu dahagakan cabaran baharu walaupun mengakui terdapat kekangan dari sudut tenaga atas faktor usia.

“Memang tak dinafikan ada sedikit kekangan dari segi beberapa faktor yang disebutkan tetapi di sinilah pengalaman saya memainkan peranan.

“Saya akan cuba buat sehabis baik untuk program ini,” tutup Ifa menamatkan bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN