fbpx

Tentera akan campur tangan kekalkan keamanan di Kosovo – NATO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
STOLTENBERG (kanan) berjabat tangan dengan Kurti di ibu pejabat NATO di Brussels kelmarin. - AFP

BRUSSELS, Belgium – Pasukan pengaman Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) akan mengambil apa sahaja langkah yang perlu bagi memastikan keamanan di Kosovo, kata ketua pakatan pertahanan tersebut, Jens Stoltenberg kelmarin ketika ketegangan Serbia-Kosovo makin meruncing.

“Sekiranya kestabilan terjejas, KFOR (pasukan pengaman NATO) bersedia campur tangan dan akan mengambil sebarang langkah yang perlu untuk memastikan persekitaran selamat dan terjamin serta kebebasan bergerak untuk semua penduduk Kosovo,” kata Stoltenberg.

Beliau bercakap dengan Presiden Serbia,  Aleksandar Vucic dalam sidang akhbar bersama di ibu pejabat NATO di Brussels.

Berikutan permusuhan berterusan antara Belgrade dan Pristina, Stoltenberg mengadakan sidang media berasingan sejurus selepas itu dengan Presiden Kosovo, Albin Kurti.

Serbia amat membenci Kosovo yang memilih pemerintahan sendiri dan disokong oleh majoriti negara anggota NATO. Pakatan tentera itu melancarkan perang udara terhadap sasaran Serbia pada tahun 1999 untuk melindungi etnik Albania di Kosovo yang menuntut kemerdekaan.

Ketegangan meningkat dalam beberapa bulan kebelakangan ini, dengan keganasan baharu berlaku akhir Julai lepas di utara Kosovo yang didiami oleh etnik minoriti Serbia.

Stoltenberg berkata,  keadaan di rantau itu ‘bertambah baik’  dan menekankan bahawa ‘rundingan membina’ yang ditaja oleh Kesatuan Eropah (EU) bagi meredakan keadaan adalah satu-satunya ke hadapan.

“Saya menyeru semua pihak yang bertelagah supaya menunjukkan sikap menahan diri dan mengelak keganasan,” katanya.

Kedua-dua Serbia dan Kosovo mempunyai cita-cita untuk menyertai EU suatu hari nanti.

Vucic dan Kurti akan terlibat dalam pusingan dialog terbaru lewat semalam, manakala ketua dasar luar, EU Josep Borrell akan memberi taklimat kepada media mengenai keputusan rundingan selepas itu.

Pasukan pengaman KFOR NATO terdiri daripada 3,700 anggota tentera yang beroperasi di bawah mandat Majlis Keselamatan PBB. – AFP 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI