fbpx

Mahkamah: 2 peguam wakili Tommy, bantahan Najib ditolak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan dua peguam dari Tetuan Tommy Thomas boleh mewakili bekas Peguam Negara itu dalam tuntutan saman RM1.9 juta yang dikemukakan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap beliau.

Perkara itu ditetapkan oleh Hakim Datuk Ahmad Bache selepas menolak permohonan peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili bekas Perdana Menteri agar kedua-duanya digugurkan daripada mewakili Tommy.

Mahkamah berpendapat Alan Adrian Gomez dan Mervin Lai Wei Shiung yang juga rakan kongsi firma guaman itu mempunyai hak di sisi undang-undang (locus standi) untuk mewakili Tommy dalam tuntutan saman tersebut.

Hakim Ahmad berpuas hati bahawa Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun telah mengeluarkan surat lantikan (fiat) pada 29 Julai lalu kepada kedua-dua peguam itu.

Ujar Hakim Ahmad, Peguam Negara telah mempertimbang semua keadaan dan keperluan yang membolehkan kedua-dua peguam berkenaan bertindak mewakili defendan secara profesional.

Pada 12 Ogos lalu, Firoz membantah pelantikan kedua-duanya atas alasan tindakan itu tidak sesuai kerana sukar untuk mengekalkan kebebasan profesional dan bertindak secara objektif dalam tindakan saman itu.

Hujah beliau, Tommy selaku defendan pertama merupakan pengasas dan kini konsultan firma guaman tersebut manakala kedua-duanya yang merupakan rakan kongsi juga mempunyai kepentingan wang secara bersama dalam firma berkenaan.

Mahkamah bagaimanapun menolak penghujahan itu atas alasan firma guaman itu dan kedua-dua rakan kongsinya tidak mempunyai hubung kait dengan pertikaian di antara Najib dan Tommy. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI