fbpx
Urawa Red Diamonds pamerkan aksi 'lima bintang' untuk singkirkan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Asia (ACL) sebentar tadi. - Foto ihsan AFC

Liga Juara-Juara Asia: JDT tersingkir ‘dibaham’ kelab Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) menerima pengajaran berharga selepas tersingkir pada kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) selepas tewas 0-5 kepada wakil Jepun, Urawa Red Diamonds dalam aksi pusingan 16 terbaik sebentar tadi.

Pada aksi di Stadium Saitama, Jepun itu, skuad Harimau Selatan membariskan kesebelasan terbaik dengan meletakkan Arif Aiman Hanapi, Bergson da Silva dan Fernando Forestieri di jentera serangan.

Pasukan kendalian Hector Bidoglio itu bermula garang dengan Arif Aiman melakukan rembatan daripada luar kotak penalti untuk menguji penjaga gol tuan rumah, Shusaku Nishikawa pada minit ke-3.

Namun, tuah memihak kepada Urawa Red apabila diberikan sepakan penalti pada minit ke-8 yang mudah disempurnakan oleh pemain import, Alexander Scholz.

Pasukan tuan rumah terus menggandakan asakan dan berjaya menambah gol kedua berselang 10 minit kemudian menerusi sepakan percuma menarik yang dilakukan oleh David Morberg.

Morberg yang juga pemain import dari Denmark menambah derita pasukan pelawat pada minit ke-39 sekali gus menyaksikan penjaga gol, Farizal Marlias buat kali ketiga.

Bersambung pada babak kedua, JDT berusaha untuk mencari gol semangat dan hampir berjaya melakukannya menerusi tandukan Forestieri sebelum dikeluarkan pertahanan lawan di atas garisan gol.

Bergson turut melakukan rembatan daripada luar kotak penalti tetapi sedikit tersasar ketika Nishikawa sudah pun tertewas.

Ketika ghairah melakukan asakan, JDT sekali lagi dihukum apabila penyerang gantian, Kasper Junker bijak menyudahkan hantaran Ataru Esaka pada minit ke-84.

Junker dan Esaka sekali lagi bergandingan dengan meledak gol kelima pada masa kecederaan sekali gus mengesahkan kemenangan bergaya 5-0 buat pasukan tuan rumah. – KOSMO ONLINE

POPULAR