fbpx

Pasangan kekasih ditahan bersama dadah lebih RM1.2 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Asisten Komisioner A.A Anbalagan menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas di IPD Serdang di sini hari ini./ FOTO FAUZI BAHARUDIN

SERDANG – Pasangan kekasih ditahan bersama pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM1.2 juta dalam serbuan di sebuah hotel sekitar Pusat Perdagangan One Puchong, di sini pada 10 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan berkata, kedua-dua suspek berusia 20 tahun itu terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan teman wanitanya warga Vietnam.

“Sepasukan polis telah menjalankan serbuan pada pukul 10.45 malam selepas menerima maklumat berhubung sindiket pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang.

“Kedua-dua suspek telah ditahan di sebuah hotel dan polis merampas satu kotak yang mengandungi enam paket plastik dipercayai dadah jenis syabu. Suspek lelaki juga didapati positif dadah jenis yang sama,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, susulan daripada tangkapan tersebut, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor telah menyerbu sebuah kondominium di Kepong yang disewa sindiket terbabit sejak Januari lalu.

“Serbuan telah membawa kepada rampasan dadah jenis syabu seberat 21 kilogram, 9,600 pil erimin 5 dan 6,000 biji pil ekstasi yang dianggarkan bernilai RM992,000.

“Polis percaya kedua-dua suspek berkenaan berperanan sebagai pengedar untuk pasaran di Lembah Klang dan usaha mengesan saki baki serta dalang sindiket sedang dijalankan,” jelasnya.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti di mana sumber dadah tersebut diperolehi.

“Siasatan masih berjalan bagi mengenal pasti sama ada sumber dadah yang diperolehi dari dalam atau luar negara dan kita juga sedang siasat dengan lebih lanjut peranan kedua-dua suspek ini.

“Sindiket ini dipercayai bergiat aktif sejak enam bulan lalu dengan mengisi dadah berkenaan dalam paket lebih kecil untuk dijual di sekitar Lembah Klang termasuk di pusat-pusat hiburan,” katanya.

Tambahnya, kedua-dua suspek kini direman bermula 10 hingga 24 Ogos mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) dan kes disiasat di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI