fbpx
AIZAT AMDAN bersama isterinya, Elyssa.

Rumah tepi pantai, ‘makanan’ cinta Aizat, Elyssa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TIGA tahun perkenalan, akhirnya penyanyi Aizat Amdan dan pasangan, Elyssa Alia Ilias memeterai perjanjian suci sebagai suami isteri, Ahad lalu.

Tersenyum bahagia, sama cantik, sama padan, pasangan mempelai itu senada bahawa selepas berkahwin, banyak perkara yang akan berubah.

Bukan sahaja cara kehidupan, bahkan setiap apa yang diputuskan selepas ini, datang daripada persetujuan bersama.

“Memang fasa baharu untuk saya dan Elyssa. Kini, saya tidak boleh memikirkan tentang diri saya sahaja.

“Untuk apa-apa sahaja rancangan selepas ini, perlulah mengambil kira nasihat daripada isteri ataupun minta kebenaran daripadanya.

“Jadi, bukan sahaja tentang saya tetapi, kini kami berdua,” ujar pelantun lagu Hanya Kita Berdua itu usai majlis pernikahan berlokasikan A-Park, Puchong, Selangor.

ELYSSA mengakui, Aizat seorang ‘budak baik’ dan mempunyai pegangan agamanya yang kuat. Kriteria tersebut antara yang membuatkan dirinya jatuh cinta terhadap penyanyi kelahiran Akademi Fantasia itu

Tayar pancit

Berkongsi detik-detik akhir sebelum menamatkan zaman, Aizat dan isteri turut memaklumkan mereka berdepan cabaran yang tidak pernah terjangka sehari sebelum majlis berlangsung.

“Tolong cerita pasal tayar. Tolong beritahu tentang itu,” ujar Elyssa, 34, bersemangat memohon agar Aizat memperincikan tentang kejadian cemas yang berlaku sebelum majlis bahagia mereka.

Cerita Aizat: “Semalam (sehari sebelum majlis kahwin iaitu pada Sabtu), memang satu situasi yang saya tak pernah jangka. Tiba-tiba tayar kereta saya pancit.

“Semasa dalam perjalanan nak ke sini (A-Park) untuk raptai, sepatutnya pukul 3 petang tapi terpaksa ditangguhkan sehingga beberapa jam sebab tayar pancit. Gemuruh dan pasrah waktu kejadian itu berlaku.”

Celah Elyssa, pengalaman tersebut benar-benar menguji kesabaran, namun pada masa sama, terus membuatkan mereka saling memahami antara satu sama lain secara lebih mendalam.

“Dengan skru tak boleh buka. Telefon mamat bengkel, mamat bengkel tak jawab.

“Kami sendiri tukar tayar sampai tempat ini berpeluh dengan bau kepam.

“Bagamanapun kami bersyukur, kerana kejadian itu berlaku sehari sebelum kami berkahwin bukan pada hari bahagia kami,” cerita Elyssa bersahaja.

Melanjutkan bicara, ditanya tentang perancangan berbulan madu, Aizat memberitahu dia dan isteri mempunyai lokasi impian yang terletak di Mexico.

PERCAYA dengan rezeki, jodoh dan takdir, mempelai sama cantik, sama padan itu ingin hidup bersama hingga ke hujung usia dan menua bersama-sama.

Bulan madu

“Kami sebenarnya ada satu ‘dream place’ yang isteri sendiri kongsi dengan dan saya sendiri rasa macam seronok kalau pergi bersama iaitu Tulum, Mexico.

“Insya-Allah akhir tahun ini ketika ada kerja di Los Angeles nanti, akan dekat dengan lokasi tersebut, mengapa tidak kami ke sana. Mungkin dalam bulan November. Boleh kira, bulan madulah,” turut Aizat.

Memperincikan tentang lokasi impian berbulan madu berkenaan, Elyssa berkata, dia memang sudah lama memasang angan-angan memiliki sebuah rumah di tepi pantai.

“Selain nak memiliki rumah di tepi pantai, saya juga nak ada sekolah menyelam sendiri.

“Tulum macam satu tempat paling tepat untuk memulakan idea tersebut dan benda-benda begitu. Saya tak suka hidup di bandar sangat. Saya suka tempat yang menenangkan.

“Tiadalah sampai nak pindah sana. Mana boleh tiada makanan kampung, sambal belacan semua. Mati rasanya kalau tiada semua itu,” ujar Elyssa berseloroh.

Diajak berbicara tentang keperibadian Aizat, Elyssa mendedahkan, jodoh dengan penyanyi tersebut ternyata kuat sekembalinya dari Australia.

“Sejujurnya, saya tak berapa kenal Aizat sebelum ini sebab waktu dia tengah ‘naik’, saya di Australia. Dipendekkan cerita, apabila saya pulang ke Malaysia, kebetulan dapat kerja apa semua, jumpa dia saya mula ‘Google’ tentang dia.

AIZAT mempunyai impian untuk memiliki studio rakaman berdekatan pantai, sementelah isterinya ingin membuka sekolah menyelam
di lokasi sama.

“Tiada cerita yang teruk dan paling teruk pun barangkali, orang kritik tentang saiz badannya pada ketika itu. Saya pun pelik kenapa dia tiada gosip sangat yang membuatkan saya lagi berminat nak tahu tentang dirinya.

“Apa yang saya minta pada Allah, alhamdulillah saya dapat daripada Aizat. Dia pandai mengaji, solat dan tak kisah kalau saya jadi diri sendiri.

“Saya kalut tapi Aizat seorang yang tenang. Apabila saya bersama dengannya, saya rasa sangat selesa.

“Dia kawan baik saya dan kalau saya cakap, memang dia layan tanpa rasa penat,” ujar Elyssa yang pernah bekerja sebagai penyampai radio Rakita sebelum ini.

Makanan erat cinta

Dalam pada itu, Aizat memberitahu, perkenalan dan keakraban hubungan dengan isteri adalah disebabkan minat yang sama iaitu suka mencuba makanan sedap bersama.

“Kami ‘dating’ memang akan pergi makan. Dia perempuan pertama yang boleh makan lebih berbanding saya (tertawa). Ibu dan kakak saya pun tak makan sebanyak dia makan.

AIZAT dan Elyssa merancang untuk berbulan madu di Tulum, Mexico pada November akan datang.

“Waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), lagilah kami masak semua benda bersama bersama keluarga di rumah. Perbualan kami dahulu memang semua tentang makanan sampailah hubungan menjadi makin serius hari demi hari,” kata Aizat.

Ditebak tentang perancangan keluarga selepas berkahwin, pasangan itu menyerahkan urusan zuriat kepada Allah SWT.

“Insya-Allah, kalau ada rezeki.

“Kami pun tidaklah muda lagi. Sekarang dah agak tua sebenarnya. Tapi, rezeki anak semua kita tak tahu.

“Kami berserah dan sudah tentu, kami inginkan anak selepas berkahwin. Cucu, cicit dan semualah,” tutur Aizat.

Sebelum memberi noktah perbualan, Elyssa berseloroh: “Nak bina pasukan bola sepak mungkin dah terlambat tapi mungkin pasukan badmintonlah (tertawa).”

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN