Oleh PROFESOR MADYA DR. NORSIDA MAN
Penduduk Malaysia diunjurkan meningkat kepada lebih 45 juta orang menjelang 2050, sekali gus meningkatkan permintaan dan penggunaan terhadap makanan.
Peningkatan populasi sesebuah negara sedikit sebanyak menimbulkan pelbagai cabaran seperti masalah agihan makanan dan lain-lain.
Hal ini secara tidak langsung menimbulkan isu sekuriti makanan yang mana dikategorikan sebagai salah satu ancaman dari perspektif keselamatan manusia di peringkat global. Adakah negara bersedia berdepan dengan situasi ini?
Sekuriti makanan boleh didefinisikan sebagai akses bagi semua penduduk ke atas makanan yang cukup untuk hidup sihat dan aktif.
Ia sangat penting terutamanya dalam perkara berkaitan peningkatan populasi, keselamatan makanan, kekurangan nutrisi, akses kepada makanan serta kemampanan sumber.
Di Malaysia, pelbagai dasar dilaksanakan kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi.
Misalnya, Dasar Pertanian Negara pertama hingga Dasar Pertanian Negara ketiga (1984-2010), Dasar Agromakanan
Negara (2011 hingga 2020) dan Dasar Agromakanan Negara 2.0 (2021-2030) serta pengeluaran padi menjadi perhatian
utama dalam setiap Dasar Pertanian Negara yang dilaksanakan.
Pertanian padi berperanan sebagai tunggak utama kepada jaminan bekalan makanan negara.
Bagaimanapun, pelbagai masalah, isu dan cabaran tetap dihadapi dari tahun ke tahun oleh subsektor ini dalam mengekal atau menambah fungsinya.
Pemahaman secara menyeluruh mengenai masalah pertanian padi negara boleh membantu kita merungkai isu jaminan bekalan makanan yang hangat diperkatakan sekarang.
Antara masalah sinonim dengan subsektor padi dan beras adalah penurunan kawasan penanaman, pengurangan bilangan petani, infrastuktur serta fasiliti kurang dinamik, peningkatan kos input seperti baja dan benih serta perubahan cuaca.
Kekurangan pendedahan terhadap aplikasi teknologi moden dalam pertanian turut mencengkam isu ini.
Secara dasarnya, pengukuhan keseluruhan rantaian bekalan perlu dijadikan agenda utama dalam mempertingkatkan keupayaan industri padi negara.
Agensi kerajaan dan bukan kerajaan perlu berganding bahu dalam menjayakan usaha tersebut. Misalnya, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) dan beberapa Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) perlu terlibat dalam pemantauan kemajuan pertanian padi di Malaysia.
Ia terutamanya dalam pengurusan infrastruktur pertanian, pengukuhan perkhidmatan sokongan dan pengurusan ladang, penyediaan perundingan melalui program dan memperkukuh agensi perkhidmatan.
Jabatan Pertanian pula berperanan membangunkan pertanian padi di luar kawasan jelapang.
Penglibatan aktif syarikat swasta seperti Padiberas Nasional Berhad (Bernas), Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan lain-lain dilihat sebagai perintis inovasi subsektor padi dan beras negara.
Bernas sebagai contoh, terus melaksanakan tanggungjawabnya dalam mengimbangi keperluan negara, pengguna dan pesawah.

INDUSTRI ternakan kini menghadapi masalah kritikal kerana harga import makanan asas ternakan semakin tinggi dan harganya mahal di pasaran. – GAMBAR HIASAN
Setelah mengambil alih peranan Lembaga Padi dan Beras Negara lebih dua dekad lalu, Bernas kini mempunyai peranan penting dalam menjamin keselamatan makanan negara.
Antara mandat yang diberi melalui tanggungjawab sosialnya adalah mengurus serta menyelenggara stok simpanan beras
negara agar ia cukup dan selamat untuk sebarang keadaan serta risiko mendatang.
Umum mengetahui, Malaysia mengimport lebih kurang 30 peratus beras dari negara luar bagi mencukupkan kadar sara diri.
Dari sudut positif, pengimportan ini menjamin kecukupan bekalan beras sekiranya terjadi masalah gangguan pembekalan dalam negara.
Selain itu, Bernas dan Nafas kini semakin giat mengembangkan lagi kawasan penanaman padi berskala besar, SMART SBB di seluruh negara.
Ia satu inisiatif diperkenalkan kerajaan untuk meningkatkan hasil pendapatan pesawah di seluruh negara dengan menyelaras sistem pengurusan ladang secara berkelompok.
Pelaksanaan SMART SBB seiring dengan matlamat MAFI bagi meningkatkan kadar Tahap Sara Diri (SSL) beras negara sebanyak 75 peratus dalam Rancangan Malaysia Ke-12.
Sekuriti makanan negara bukan hanya berfokuskan pengeluaran makanan utama iaitu beras sahaja, tetapi juga sumber makanan lain seperti ayam, telur, daging dan sebagainya.
Industri ternakan sedang menghadapi masalah kritikal ketika ini kerana harga import makanan asas ternakan semakin tinggi dan harganya mahal di pasaran.
Bagi mengatasi masalah itu, Bernas bersama FGV Integrated Farming telah membangun produk makanan ternakan berkualiti tinggi baru-baru ini.
Produk berjenama ALMA ini merupakan formulasi baharu makanan ayam kampung menggunakan hasil sampingan daripada pengilangan padi dan beras seperti dedak dan sekam padi bernutrien tinggi.
Kolaborasi strategik ini membuktikan kesungguhan mereka dalam mengoptimumkan penggunaan sumber, mengukuhkan rantaian nilai produk agromakanan untuk pasaran domestik, sekali gus mendukung teras utama kerangka sekuriti makanan negara.
Dari sudut penyelidikan dan pembangunan (R&D) pula, usaha berterusan dalam menghasilkan input pertanian seperti benih dan baja berkualiti amat diperlukan.
Kesimpulannya, sektor pertanian khususnya industri padi dan beras, memainkan peranan penting dalam mengatasi isu sekuriti makanan.
Pembangunan sektor ini juga amat penting bagi meningkatkan tahap sara diri dalam bekalan beras negara.
Semestinya gabungan strategik serta pembabitan dan penyelarasan fungsi antara kerajaan dan swasta yang terlibat memainkan peranan penting dalam memastikan Dasar Agromakanan Negara 2.0 tercapai.
—————————————————————————————————————————————————————
PROFESOR MADYA DR. NORSIDA MAN dari Jabatan Perniagaan Tani dan Ekonomi Biosumber, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM).
















