fbpx
Noh ketika berucap pada Malam Jalinan Mesra bersama 100 Koperasi Terbaik sempena Sambutan 100 Tahun Gerakan Koperasi yang berlangsung di Hotel Mandarin Oriental, di sini hari ini. /FOTO AMIR KHALID

Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia dijangka beroperasi mulai September

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) dijangka memulakan operasi mulai September ini selepas mendapat kelulusan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, penubuhan universiti bertaraf swasta itu adalah hasil gabungan 100 koperasi terbaik negara bagi melahirkan barisan pelapis pemimpin yang kompeten dan profesional.

“Sekarang ini kita sedang menunggu untuk mendapatkan kelulusan pengiktirafan daripada MQA yang dijangka selesai dalam bulan September.

“Sehubungan itu, pengambilan pelajar juga akan dibuat bagi tempoh yang sama dengan jumlah sebanyak 500 orang setiap tahun,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Malam Jalinan Mesra Bersama 100 Koperasi Terbaik bersempena 100 tahun koperasi di Hotel Mandarin Oriental di sini, hari ini.

Noh berkata, sebanyak 15 program akan ditawarkan bermula daripada peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda, hingga ke peringkat Doktor Falsafah (PHD) dalam bidang pentadbiran dan keusahawanan.

“Untuk pentadbiran, kecenderungannya adalah lebih kepada bahagian pengurusan manakala bagi bidang keusahawanan, graduan yang dilahirkan berupaya menubuhkan koperasi sendiri,” ujarnya.

Jelasnya, UKKM akan menggunakan kampus di Institut Koperasi Malaysia (IKMa) yang terletak Petaling Jaya terlebih dahulu.

“Ketika ini, kita juga sedang berunding dengan Kemeterian Kewangan (MOF) untuk mengambil alih bangunan di Cyberjaya untuk digunakan sebagai kampus utama,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

POPULAR