fbpx

Shah Firdaus sasar final Kejohanan Berbasikal Trek Dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shah Firdaus (berdiri dua kanan) bergambar dengan kenangan selepas Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Atlet Johor Sukan Sea 2021, Komanwel Birmingham 2022 di Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom sasar untuk layak ke final acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Perancis, Oktober depan meskipun sedar berdepan tentangan sengit peserta lain.

Pelumba berusia 26 tahun itu akui berdepan tekanan menjelang kejohanan itu kerana buat pertama kali akan menyertai acara keirin bagi kejohanan dunia kali keempatnya.

Katanya, tekanan itu semakin hebat apabila tumpuan sepenuhnya ke arahnya selepas jaguh berbasikal negara, Datuk Mohd. Azizulhasni Awang tidak menyertai kejohanan tersebut pada tahun ini.

“Sebelum ini, saya hanya bertanding bagi sprint manakala Azizulhasni yang bertanding untuk keirin. Jadi, dengan ketiadaannya pada kejohanan kali ini, saya akan bertanding untuk kedua-dua acara, tekanan itu cukup hebat.

“Untuk keirin, tumpuan saya adalah untuk melayakkan diri ke final. Ia bukanlah tugas yang mudah kerana kebanyakan pelumba yang sertai Sukan Komanwel baru-baru ini juga akan sertai kejohanan dunia tersebut.

“Saingan turut menjadi sengit dengan kehadiran pelumba dari Belanda, jadi saya perlu lebih bersedia sekiranya mahu melangkah ke final,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Atlet Johor Sukan SEA 2021, Sukan Komanwel Birmingham 2022 dan Penyampaian Bantuan Pentadbiran Badan-Badan Gabungan MBNJ 2022, di sini malam semalam.

Sukan Komanwel Birmingham 2022 menjadi medan buat Shah Firdaus menoktahkan penantian selama lapan tahun untuk memenangi pingat acara keirin pada temasya sukan edisi ke-22 itu apabila meraih gangsa.

Nicholas Paul dari Trinidad & Tobago merangkul emas manakala perak menjadi milik pelumba Scotland, Jack Carlin.

Kejayaan merangkul pingat bagi acara keirin itu meniup semangatnya untuk terus mencipta kejayaan dalam acara itu dan Kejohanan Berbasikal Trek Dunia menjadi medan untuk menguji kemampuannya.

Anak kelahiran Muar itu berkata, beliau tidak henti-henti menjalani latihan setelah pulang dari Birmingham dengan tumpuan diberikan dari segi kepantasan memastikan sasaran pada kejohanan dunia itu mampu digapai.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI