fbpx

Sedar anak terkena renjatan elektrik lepas 15 minit kejadian petir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
M. Nor Zawawi (kanan) menunjukkan telefon pintar milik Nur Asyqin Qistina yang sedang digunakan oleh mangsa semasa kejadian petir petang semalam. /FOTO AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Ibu dan bapa kepada kanak-kanak yang maut akibat terkena renjatan elektrik ketika menggunakan telefon pintar sedang dicas di Kampung Baru Sungai Raya Luar di sini semalam menyedari mangsa pengsan 15 minit selepas kejadian ribut petir.

Mangsa, Nur Asyqin Qistina M. Nor Zawawi, 12, ditemui tidak sedarkan diri oleh ibunya di atas tilam bilik tidur dengan kesan melecur pada bahagian lengan kira-kira pukul 5.05 petang.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan mendapati, bapa mangsa, M. Nor Zawawi Awang, 54, pulang selepas menunaikan solat asar di sebuah surau di hadapan rumah apabila terdengar bunyi letupan semasa kejadian ribut petir.

Menurutnya, letupan itu menyebabkan rumahnya terputus bekalan elektrik selain sistem penyongsang solar turut rosak sebelum menghubungi individu untuk membaiki peralatan tersebut.

“Kira-kira 15 minit kemudian, isterinya memaklumkan bahawa Nur Asyqin Qistina pengsan di tempat tidur dengan tangan kanannya memegang telefon, pengecas telefon berada berdekatannya selain kesan lecur dan terbakar pada tilam tempat tidur anak mereka.

“Nur Asyqin Qistina telah dibawa bapanya ke Klinik Kuala Betis di sini sebelum disahkan meninggal dunia. Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Gua Musang kira-kira pukul 8 malam tadi untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga untuk urusan pengebumian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Choon Foo, siasatan di lokasi kejadian mendapati, tiada keterangan yang boleh mengaitkan punca kematian mangsa disebabkan perlakuan jenayah.

Katanya, kematian mangsa dipercayai akibat kesan renjatan elektrik daripada kejadian panahan petir terhadap penyongsang solar di rumahnya.

Tambahnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI