fbpx

Sambung legasi bapa baiki kasut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEGIGIHAN Hamizan bekerja membaiki kasut wajar dijadikan contoh kepada generasi muda masa kini.

Sejak 35 tahun lalu ketika berumur 12 tahun, seorang kanak-kanak lelaki sering mengikut bapa dan abangnya ke kedai membaiki kasut di pusat bandar Johor Bahru.

Kedai membaiki kasut itu terletak di tapak perniagaan yang sekarang berdiri megah Pusat Beli-Belah City Square di Jalan Wong Ah Fook.

Itulah kedai membaik pulih kasut milik bapanya yang pertama sebelum berpindah ke Pasar Awam Larkin Sentral sehingga kini.

Sekarang kanak-kanak tersebut yang kini berusia 47 tahun meneruskan legasi bapanya membaiki kasut yang diberi nafas baharu dengan nama ISS Cobbler.

Hamizan Idris kini menjadi pemilik kedai membaiki kasut di Larkin Sentral sejak 1994 setelah kedai asal dirobohkan bagi pembangunan di pusat bandar.

Bercerita masa silamnya, dia pada mulanya sekadar mengikut abangnya yang bekerja membaiki kasut, namun tidak lama kemudian timbul perasaan ingin mempelajarinya.

“Ketika itu abang yang banyak mengajar cara-cara membaiki kasut pelanggan.

“Saya begitu tekun mempelajarinya dari kaedah menampal dan menjahit sehingga siap.

“Walaupun ia mengambil masa yang agak lama, namun saya suka untuk mempelajari benda baharu dalam hidup,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui baru-baru ini.

Kedainya yang terletak di tingkat satu Pasar Awam Larkin Sentral itu merupakan satu-satunya kedai membaiki kasut dan menjadi tumpuan orang ramai untuk menghantarnya.

Menurut Hamizan lagi, dia mula mengenal jarum, benang dan pisau daripada abangnya hingga mahir menjahit dan menampal.

“Selepas abang saya meninggal dunia, saya meneruskan perniagaan ini sehingga sekarang,’’ ujarnya.

HAMIZAN tekun membaiki kasut yang dihantar pelanggan
di kedainya di Pasar Awam Larkin Sentral, Johor Bahru.

Kini bapa kepada empat orang anak itu dibantu oleh pengasas kedai kasut ini iaitu bapanya, Idris Abd. Majid, 82, yang membantu menjahit dan menampal kasut.

Selain kasut, kedai milik Hamizan itu turut menerima beg tangan, tali pinggang dan tali jam untuk dijahit.

“Saya pernah menjahit beg tangan berjenama yang berharga ribuan ringgit dan kasut kulit lebih RM3,000.

“Mungkin pemiliknya amat sayang dengan barangan mereka sehingga sanggup datang ke kedai saya untuk dibaiki daripada dibuang begitu saja,” ujarnya.

Sehingga kini dia telah membaiki lebih 6,000 pasang kasut termasuk kasut dan beg berjenama mewah.

Tambah Hamizan, untuk membaiki kasut dia menggunakan benang khas.

Ia katanya, dijahit menggunakan jarum yang dibuat sendiri olehnya dengan lidi basikal serta gam khas.

Dia akan mengambil masa setengah jam untuk menjahit dan menampal bergantung kepada kerosakan pada kasut tersebut.

Pada kebiasaannya, kasut yang rosak itu perlu dijahit bagi menguatkan bahagian tapak sebelum menampalnya.

“Setakat ini, saya tidak menerima apa-apa rungutan atau ketidakpuasan hati pelanggan.

“Malahan ada yang mengatakan selepas dibaiki, kasut tidak lagi terkopak terutamanya di bahagian tapak,” ujarnya.

Menurutnya lagi, ada juga kasut yang dihantar untuk dibaiki, namun pelanggan tidak datang mengambilnya sehingga berbulan-bulan lamanya walaupun sudah dihubungi beberapa kali.

Jadi katanya, dia terpaksa menjual kasut itu sebagai barangan terpakai.

Dalam pada itu, untuk menjahit kasut di kedainya, pelanggan dikenakan caj bermula dari RM3 hingga RM150 bergantung pada kerosakan.

ISS Cobbler milik Hamizan dibuka setiap hari kecuali hari Jumaat dari pukul 10 pagi hingga 6 petang.

Dia bersyukur kerana setiap hari ada saja pelanggan yang datang ke kedainya untuk membaiki kasut dan beg yang perlu dijahit dan diganti zip.

Kegigihan Hamizan yang mengabdikan diri sebagai tukang kasut patut dicontohi anak muda zaman ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN