fbpx
ELANGHOVAN tidak dapat menggambarkan perasaan gembiranya selepas berjaya menakluk Gunung Everest pada usia 64 tahun baru-baru ini.

Rakyat Malaysia tertua tawan puncak Everest

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERBEKALKAN kudrat yang ada, kaki N. Elanghovan melangkah penuh bersemangat menuju ke puncak Gunung Everest. Teruja dan gembira, ternyata impian yang ditanam sejak tahun 2014 itu berjaya direalisasikan apabila beliau akhirnya mampu berdiri gah menawan puncak tertinggi dunia.

“Saya sangat gembira dan terasa diri ini seolah-olah sedang terapung di permukaan udara. Saya dapat melihat pemandangan sangat indah dengan dikelilingi awan tebal serta puncak gunung-gunung tinggi.

“Selepas berehat beberapa ketika dan merakam gambar sebagai kenangan, barulah saya meneruskan pendakian menuruni Everest,” katanya pesara Tenaga Nasional Berhad ini kepada K2 ketika mengimbau kembali momen yang cukup bersejarah dalam hidupnya itu.

Elanghovan adalah lelaki tertua pertama negara berjaya menawan Everest berketinggian 8,849 meter pada usia 64 tahun. Pada waktu itu, beliau bersama dua rakan, T. Ravichandran, 57, dan Sidharth Routray, 40.

Pencapaian yang diraihnya pada 12 Mei lalu itu membolehkan namanya tercatat dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai ‘Rakyat Malaysia Tertua Mendaki Gunung Everest’.

Lahir dan membesar di Cameron Highlands, Pahang pada 1958 membuatkan figura ini begitu dekat dengan alam semula jadi.

ELANGHOVAN bersama keluarga pada majlis anjuran MBOR sebagai pengiktirafan buatnya yang merupakan ‘Rakyat Malaysia Tertua Mendaki Gunung Everest’.

Elanghovan mengakui, sejak kecil dirinya sudah terbiasa keluar masuk ke hutan dan menelusuri jalan-jalan berbukit. lelaki ini mengibaratkan hutan umpama rumah keduanya.

Bagaimanapun sebaik mula bekerja lebih 35 tahun lalu, bapa kepada dua orang cahaya ata ini tidak mempunyai kesempatan untuk mendaki atas tuntutan kerja dan tanggungjawabnya terhadap keluarga tercinta.

Pun begitu, semuanya berubah pada tahun 2014 selepas beliau berjaya melakukan pendakian ke kem induk (basecamp) Everest buat pertama kali.

“Dahulu, anak-anak masih kecil dan pula saya sibuk bekerja. Justeru, keutamaan saya bukan pada pendakian.

“Pada 2014 saya melakukan misi ke Everest Basecamp di Nepal dan mendaki pada ketinggian 5,364 meter. Ketika itu, malim gunung yang mengiringi menyatakan saya mempunyai semangat dan tenaga untuk ke puncak Everest.

“Kata-kata itulah menjadi pendorong untuk mendaki Everest. Saya menyuarakan hasrat untuk menawan Everest pada keluarga dan mereka merestuinya,” ujarnya.

Mengambil keputusan untuk bersara awal pada 2015 ketika berusia 56 tahun, Elanghovan mula mempersiapkan diri demi misinya untuk menawan Everest.

Kongsinya lagi, dia memulakan latihan mendaki gunung di beberapa negara seperti Jepun dan Tanzania, selain Malaysia sendiri.

“Saya memulakan latihan dengan mendaki Gunung Kinabalu pada ketinggian kira-kira 4,000 meter untuk menguatkan otot.

TANGGAL 12 Mei lalu merupakan kenangan terindah buat Elanghovan apabila berjaya menjejakkan kaki ke puncak Everest.

“Saya juga pernah berlatih menerusi pendakian di Gunung Fuji, Jepun selain gunung kedua tertinggi Negara Matahari Terbit itu, Gunung Kitadaki pada musim panas.

“Bagi memantapkan lagi stamina dan membuat persediaan rapi, saya jalani pula alpine mountaineering di gunung tertinggi di benua Afrika, Gunung Kilimanjaro yang mempunyai ketinggian 5,800 meter dan lain-lain lagi latihan.

“Setiap latihan yang dijalani itulah yang menambah lagi keyakinan diri bahawa saya sudah bersedia untuk mendaki Gunung Everest. Bagaimanapun, disebabkan pandemik melanda dunia pada 2020, hasrat tersebut terpaksa disimpan ekoran sempadan negara yang telah ditutup,” tambahnya.

Biarpun terpaksa menangguhkan misi pendakian selama dua tahun, namun penantian Elanghovan berbaloi apabila dia berjaya menawan Everest melepasi dead zone dalam misi 58 hari itu.

“Setibanya di sana, saya tidak terus mendaki Everest, sebaliknya menjalani latihan teknikal di kem induk yang dijadikan sebagai rumah sementara.

“Latihan dan penyesuaian fizikal serta mental penting bagi memastikan badan berada dalam keadaan baik dan mampu berjalan serta mendaki walaupun pada paras 6,000 meter dengan oksigen yang berkurangan.

“Misi hanya akan diteruskan apabila sherpa mendapati, keadaan individu benar-benar layak untuk pendakian tersebut,” ujarnya.

Menurutnya lagi, dia membelanjakan sebanyak RM250,000 untuk misi pendakian Everest termasuk segala latihan yang dijalankan di gunung-gunung di beberapa buah negara.

Wang tersebut merupakan simpanannya sendiri, selain hasil menjual salah sebuah rumah miliknya serta sumbangan daripada keluarga.

PESARA TNB ini merancang untuk menakluk G7 atau tujuh puncak di tujuh benua dalam misi seterusnya.

“Kos untuk menawan Everest sangat tinggi dan harapan untuk mendaki juga cuma datang sekali. Jika tidak berjaya, tidak mungkin saya akan mengulanginya. Disebabkan itu, saya perlu betul-betul fokus dan bersedia.

“Walaupun telah tiba di puncak, tetapi ia tidak bermaksud saya telah berjaya menawan Everest. Istilah berjaya itu hanya diperoleh apabila individu mampu mendaki dan turun ke kem induk dengan selamat.

“Bahkan ketika memberi sijil pendakian, mereka akan pastikan individu tiba di basecamp,” jelasnya.
Menyedari dirinya telah berusia untuk melakukan pendakian, Elanghovan mengakui pelbagai perkara bermain di fikirannya sepanjang pendakian.

Mendaki pelbagai laluan berbahaya dalam keadaan oksigen berkurangan, ditambah pula dengan angin kencang membuatkan saya sedikit goyah.

PESARA TNB ini merancang untuk menakluk G7 atau tujuh puncak di tujuh benua dalam misi seterusnya.

“Sehingga ke satu tahap, saya menelefon isteri dan memaklumkan peratusan untuk saya selamat adalah 50 peratus. Menangis isteri saya ketika mendengarnya,” katanya.

Selain menjalani latihan, Elanghovan juga begitu menitikberatkan pemakanan yang diambil dalam diet hariannya.

Sepanjang misi menawan Everest, lelaki ini mengamalkan makanan tinggi karbohidrat bagi memastikan dirinya kekal bertenaga sepanjang pendakian.

Ditanya mengenai misi seterusnya, beliau merancang untuk menakluk G7 atau tujuh puncak di tujuh benua.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN