fbpx
SARA ALI

Pelakon ada hak memilih pengarah – Sara Ali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“SAYA juga punya hak untuk menilai cara dan hasil kerja seorang pengarah sebelum memulakan kerjasama.”

Demikian penegasan yang terbit daripada bibir Sara Ali ketika memulakan bicara tentang pendiriannya sebagai anak seni.

Baginya, kerja seorang pelakon bukan hanya melontarkan emosi dan ekspresi semata-mata tetapi juga mempunyai hak untuk menilai karya seorang pengarah.

Katanya, selepas lebih sedekad bergelar anak seni, mindanya mula terfikir bahawa betapa pentingnya untuk seseorang pelakon memilih pengarah yang ingin bekerja bersama.

Hak memilih

Mungkin kedengaran seperti lagak seorang ‘diva’ atau dilabel sebagai memilih, dia yang popular menerusi filem Kami Histeria berpendapat, sikap selektif perlu ada dalam senarai prinsip seorang anak seni.

“Minta maaf. Saya sudah berusia 32 tahun sekarang dan tidak mahu membuang masa untuk berlakon dalam sebuah karya yang teruk.

“Kalau seseorang pengarah itu boleh menilai pelakon, kami sebagai aktor dan aktres juga berhak melakukan perkara sama untuk menilai cara kerja mereka,” katanya kepada Hib Glam baru-baru ini.

KATA Sara, pengarah ada hak memilih pelakon untuk sesebuah naskhah. Maka pelakon juga punya hak yang sama untuk melakukannya. Foto – AFIQ RAZALI

Tuturnya lagi, seorang pelakon turut berhak memilih pengarah yang dirasakan sesuai untuk bekerjasama sebelum menerima sesuatu tawaran lakonan.

“Kami tahu siapa pengarah yang dimahukan atau tak mahu untuk bekerjasama.

“Kalau rasa karya mereka tidak menarik, jangan keberatan untuk menolaknya. Itu prinsip saya hari ini,” tegas pemilik nama penuh Siti Sarah Hairi Ali itu.

Selain menilai berdasarkan hasil kerja seseorang pengarah, dia juga turut bertanya dengan orang sekeliling seperti rakan artis dan pihak produksi.

“Saya juga akan berusaha mencari karya-karya yang pernah diarahkan pengarah itu, tidak kiralah sama ada filem pendek atau sebaliknya.

“Sekiranya menepati kualiti dan dirasakan sesuai, barulah saya akan buat keputusan sama ada terima tawaran tersebut atau tidak,” katanya.

KATA Sara, sudah tiba masa industri melakukan perubahan dengan mengangkat pelakon wanita sebagai hero dalam sesebuah naskhah.

Berkongsi pengalaman lalu, anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu pernah bekerja dengan pasukan produksi yang berkualiti dan juga sebaliknya.

“Pada usia saya dalam industri sekarang, memang tidak kisah tentang kualiti skrip, namun yang paling penting, cara kerja pengarah, pengarah fotografi dan pasukan produksinya.

“Suatu ketika dahulu, saya pernah berlakon dalam sebuah karya yang jalan cerita dan skripnya sangat bagus.

“Tetapi pasukan produksinya pula yang tidak bagus dan menjadikan pengalaman dan hasil kerja mereka tidak berkualiti,” katanya lagi.

Pertama kali jadi ‘hero’

Beralih tentang perincian terbaharu kariernya, Sara muncul dengan drama Murder By Moonlight dengan memegang watak utama bagi naskhah tersebut.

Katanya, watak tersebut berjaya menjadi miliknya selepas beberapa kali melalui fasa uji bakat.

“Sebenarnya saya tak sangka dan tidak berharap pun untuk dapat karakter ini lebih-lebih lagi apabila pihak stesen televisyen terlibat kurang yakin dengan kemampuan saya.

“Cuma mungkin saya berjaya ‘menewaskan’ pelakon lain bagi mendapatkan karakter ini. Tambahan pula, saya bukan jenis yang suka dicabar.

“Kau tak suka saya? Tak mengapa, saya akan lakukan yang terbaik untuk sangkal semua rasa tidak suka itu,” tuturnya.

DRAMA Murder By Moonlight menyaksikan Sara berjaya mendapatkan watak utama sebagai ‘hero’ selepas beberapa kali melalui sesi uji bakat.

Teruja berkongsi, dia yang akan muncul menerusi filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa yang akan menemui penonton pada 25 Ogos ini memberitahu bangga apabila dipilih pertama kali menjadi ‘hero’ wanita.

“Drama Murder By Moonlight menjadikan saya seorang hero walaupun wanita.

“Saya bangga kerana ada drama yang mengangkat darjat wanita dalam sebuah naskhah hebat sebegini,” tuturnya.

Saran Sara, penerbit dan pengarah tanah air perlu lebih berani mengangkat wanita sebagai hero dalam drama arahan serta terbitan mereka.

“Inilah pembaharuan yang perlu perlahan-lahan diserap dalam industri seni tanah air sekali gus berani keluar dari kepompong lama,” tutupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN