fbpx

Kaki alami retakan, Fazura tetap sibuk bekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAZURA

KUALA LUMPUR – Demi memenuhi komitmen kerja, aktres Nur Fazura tetap mengikuti jadual tugasan yang sudah disusun dalam keadaan bahagian bawah kaki kirinya retak sejak dua minggu lalu.

Katanya, insiden terlanggar besi lampu sorot ketika menjayakan sebuah penggambaran mengakibatkannya terpaksa bergantung dengan pil penahan sakit buat sementara waktu.

“Kejadian itu berlaku dua minggu lalu. Saya terlanggar besi tiang lampu masa ‘shooting’. Memang sakit tapi saya sangka tiada apa-apa yang serius.

“Selepas bahagian bawah kaki mula nampak kebiruan dan membengkak, terus suami bawa saya jumpa doktor. Kemudian dimaklumkan ada retakan.

“Doktor nasihatkan pakai pendakap gentian kaca, tapi saya kena ‘terbang’ ke Jakarta, Indonesia dalam masa terdekat selain melunaskan beberapa komitmen lain.

“Selepas pulang nanti saya akan berjumpa doktor lagi untuk pemeriksaan susulan. Sekarang saya ambil ubat tahan sakit saja dan patut jangan lasak,” katanya.

Selebriti berusia 39 tahun itu ditemui selepas sidang media Konsert Faztival Fazura 2022 yang berlangsung di Hotel Mandarin Oriental, baru-baru ini.

Pada acara tersebut, Fazura dilihat mengenakan kasut sukan yang diacu bersama kain labuh beropol merah jambu bersama blaus hitam hingga mengundang tanda tanya.

Ada yang menyangka pelakon, penyanyi dan usahawan tersebut hamil anak kedua, namun bintang kesayangan ramai itu mengesahkan perlu mengenakan kasut yang sesuai disebabkan kecederaannya.

“Memang saya pun rindu nak tambah zuriat. Fatima pun sudah semakin besar, bakal berusia dua tahun dalam tempoh dua bulan lagi.

“Cuma sekarang saya sibuk merealisasikan beberapa projek. Mungkin hujung tahun selepas selesai semua kesibukan ini, saya dan Fattah sudah boleh menambah ahli keluarga.

“Ikutkan memang nak sepasang tetapi kita terima saja lelaki atau perempuan. Saya cuma mampu berdoa dikurniakan anak soleh dan solehah,” katanya.

Fazura dan aktor, Fattah Amin mendirikan rumah tangga pada November 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata bernama Nur Fatima Aisya.

Sementara itu, mengenai Konsert Faztival Fazura 2022 yang akan berlangsung di Axiata Arena pada 11 September depan dengan konsep #miliksemua, katanya tiket dijual pada kadar mampu milik bermula RM147.

Konsert tersebut dibarisi penyanyi popular tempatan dan Indonesia seperti Datuk M. Nasir, Datuk Awie, Ella, Ruffedge, Zizi Kirana, Ippo Hafiz dan Amir Masdi.

Penghibur tersohor dari seberang iaitu Ahmad Dhani juga akan bersama Ahmad Band selain isterinya, Mulan Jameela menghangatkan pentas. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI