fbpx

EPL: Sasa Kalajdzic tak hirau nasihat Ralf Rangnick

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KALAJDZIC menjadi salah satu calon penyerang yang ingin dimiliki oleh United pada jendela perpindahan kali ini. – AFP

LONDON – Penyerang buruan Manchester United, Sasa Kalajdzic dilaporkan teruja dan berminat untuk berhijrah ke Old Trafford biarpun terdapat laporan bekas pengurus sementara kelab berkenaan, Ralf Rangnick cuba untuk menghalangnya.

United ketika ini sedang memburu khidmat seorang penyerang sebelum jendela perpindahan ditutup pada 1 September nanti selepas mereka membuat keputusan membatalkan hasrat mendapatkan penyerang Bologna, Marko Arnautovic.

Laporan menyebut mereka telah menamakan Kalajdzic sebagai sasaran utama ketika pemain berkenaan berada pada tahun terakhir kontraknya bersama Stuttgart.

Pemain antarabangsa Austria itu juga dilaporkan turut diintai oleh beberapa lagi kelab dari England termasuk West Ham United, Everton dan Chelsea, namun United dikatakan berjaya menarik minat Kalajdzic.

Pemain berusia 25 tahun itu juga dipercayai sudah bersedia untuk mencari cabaran baharu dan sangat teruja apabila khidmatnya dikaitkan dengan United ketika kelab itu perlu bersedia sekiranya mereka kehilangan Cristiano Ronaldo.

Bagaimanapun, Rangnick yang kini bertugas sebagai jurulatih pasukan kebangsaan Austria mengeluarkan kenyataan bahawa beliau lebih gemar untuk melihat Kalajdzic kekal bersama Stuttgart.

Rangnick berpendapat, selagi Ronaldo masih kekal bersama pasukan itu, tidak ada jaminan bahawa Kalajdzic akan diletakkan dalam kesebelasan utama ketika beliau berharap pe­nyerangnya itu mampu mendapatkan lebih minit permainan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI