fbpx

Showcase Transformasi Pendidikan platform perjelas dasar KPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Radzi ketika menyampaikan dasar dan program terkini KPM kepada pengunjung yang menghadiri program Showcase Transformasi Pendidikan di Alamanda, Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan bahawa program Showcase Transformasi Pendidikan yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam merupakan satu daripada langkah untuk menjelaskan dasar transformasi yang cuba dicapai kementerian tersebut.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, menerusi program sedemikian, KPM berpeluang untuk turun padang dan duduk bersama masyarakat untuk menyampaikan maklumat tentang apa yang sedang dilaksanakan oleh kementerian itu.

“Melalui program ini kita berpeluang untuk turun ke bawah bersama masyarakat dan membolehkan mereka melihat sendiri apa yang sedang kita laksanakan malah jika ada maklumat yang diperlukan, ibu bapa boleh terus berhubung dengan pegawai-pegawai yang ada di sini.

“Kita ingin lihat program sebegini berjalan dengan baik dan selepas ini akan ada lebih banyak lagi program yang akan dilaksanakan untuk kita jelaskan kepada rakyat terutamanya ibu bapa tentang apa yang telah, sedang dan akan kita laksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Program Showcase Transformasi Pendidikan yang diadakan selama tiga hari bermula semalam di Alamanda, Putrajaya, di sini hari ini.

Showcase Transformasi Pendidikan merupakan salah satu aktiviti dirancang oleh KPM bagi mengisi slot ‘Bersama Semarakkan Transformasi Pendidikan’ yang merupakan usaha kolboratif untuk menguar-uarkan kepada masyarakat tentang projek serta inisiatif transformasi pendidikan.

Program ini merupakan platform memaparkan inovasi dan pencapaian murid serta guru, perkembangan pendidikan digital dan aplikasi sistem yang memudahkan pengurusan dalam pendidikan.

Menurut Radzi, Showcase Transformasi Pendidikan turut menawarkan pelbagai aktiviti yang melibatkan murid dari peringkat pra-sekolah, rendah, menengah dan lepasan menengah.

“Jika sebelum ini program sebegini lebih tertumpu kepada usaha dalam kalangan guru untuk menjayakannya, kini kita mahu murid-murid sendiri kedepan dalam usaha membentuk kemenjadian murid dan bersama-sama menunjukkan kekuatan, kelebihan, kemahiran dan bakat pelbagai yang ada untuk kita ketengahkan.

“Oleh sebab itu, bila kita berbicara mengenai pemansuhan peperiksaan sebagai contoh, kita ingin menumpukan kepada kemenjadian murid secara keseluruhannya,” jelas beliau.

Radzi berkata, dalam memastikan segala transformasi besar yang dilaksanakan dapat memberi impak dan hasil yang dihasratkan adalah amat kritikal untuk ibu bapa, masyarakat dan guru untuk bersama-sama memberi kepercayaan kepada KPM.

“Ia adalah supaya kita dapat membentuk satu sistem dan ekosistem pendidikan yang mampu melahirkan anak-anak yang hebat dan mampu bersaing di peringkat dunia.

“Dalam tempoh beberapa minggu ini, kita telah turun padang mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak yang setakat ini telah menerima penglibatan mencecah lebih 20,000 ibu bapa, guru dan pemimpin masyarakat yang turut memberikan maklum balas positif bahawa kita berada di landasan yang betul dgn pendekatan yg kita laksanakan ,” katanya.

Tambah beliau, dalam tempoh terdekat ini juga, KPM akan mengadakan hari terbuka Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh negara bagi membolehkan masyarakat bersama-sama dengan pihak PPD melihat apa yang dilakukan dan dirancang oleh kementerian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN