fbpx
Tengku Zafrul (tengah) menyerahkan sijil dan geran bantuan kepada wakil belia pada Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Selangor hari ini.

Pengundi muda baharu dijangka 3.8 juta orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR – Pengundi muda baharu berusia 18 tahun dijangka bertambah mencecah 3.8 juta orang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Jumlah itu dipercayai meliputi penambahan seramai 7.8 juta pengundi baharu pada pilihan raya umum kelak.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, keadaan itu menunjukkan pengundi muda mewakili 34 peratus daripada keseluruhan jumlah pengundi tersebut.

Kata beliau, arah dan hala tuju negara bakal ditentukan golongan belia masa kini.

“Menjelang PRU15, sebanyak 7.8 juta pengundi baharu dipercayai bakal bertambah termasuk 3.8 juta mewakili golongan muda berusia 18 tahun.

“Dalam kata lain, tiga daripada 10 pengundi adalah baharu dan ia mampu mengubah senario politik semasa jika mereka keluar mengundi,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Selangor di Stadium Utama Kuala Selangor di sini, malam tadi.

Jelas Tengku Zafrul, kuasa Undi18 pada PRU15 memberi peluang kepada golongan muda terlibat secara aktif dalam politik sekali gus membuat keputusan mengenai masa depan negara.

“Lebih ramai belia boleh menjadi pemimpin sama ada di peringkat Persekutuan atau pun negeri.

“Pelaksanaan Undi18 turut mampu melahirkan bakal pemimpin yang matang dan berkualiti,” ujarnya.

Tambah beliau, penurunan usia minimum mengundi dilihat mampu memberi lebih masa kepada golongan muda mendekati dan mendalami arena politik dan kepimpinan negara.

“Apabila terdapat ramai wakil golongan muda dalam arena politik, sudah tentu suara generasi muda ini akan lebih didengari.

“Biarpun terdapat pihak ragu dengan kemampuan golongan muda, peluang Undi 18 dilihat sebagai jalan terbaik untuk negara melahirkan bakal pemimpin berkaliber pada masa depan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

POPULAR