CANBERRA – Seorang wanita di Australia mengeluarkan iklan satu muka surat penuh dalam akhbar tempatan untuk mendedahkan bahawa suaminya seorang lelaki yang berlaku curang, lapor akhbar New York Post semalam.
Wanita yang hanya dikenali sebagai Jenny itu meluahkan perasaan marahnya dalam akhbar Australia, Mackay and Whitsunday Life edisi 12 Ogos 2022.
“Steve yang dihormati, saya harap anda gembira dengan dia.
“Sekarang seluruh bandar akan tahu kamu seorang lelaki curang. Daripada Jenny. P.S. Saya beli iklan ini menggunakan kad kredit anda,” demikian maksud kata-kata pada iklan tersebut.
Akhbar itu dibaca lebih 50,000 orang di kawasan pelancongan tropika terletak bersebelahan Terumbu Karang Besar.
Iklan itu menarik perhatian penduduk tempatan yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai skandal itu.
Editor akhbar itu terpaksa menggunakan laman Facebook untuk mendedahkan butiran lanjut tentang Jenny.
Mereka mendedahkan bahawa Jenny menempah iklan itu melalui portal online tetapi tidak mendedahkan jumlah bayaran yang dibuat menggunakan kad kredit pasangannya.
Mereka akhirnya memutuskan untuk menyiarkan iklan itu secara percuma dengan mengatakan, adalah menyalahi undang-undang untuk menggunakan wang Steve tanpa persetujuannya. – Agensi














