fbpx
SITI terharu melihat sambutan hangat daripada peminat yang datang dari segenap pelosok negara menyaksikan persembahannya malam Sabtu lalu

Siti Nurhaliza bereksperimen hiburkan peminat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KESOPANAN dan kemesraannya melayani setiap penonton yang hadir ketika menyaksikan persembahannya pada malam Sabtu lalu membuktikan Penyanyi Nombor Satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza selayaknya bergelar penghibur sejati.

Menawan segenap isi dewan dengan pesona dan lunak suaranya, penyanyi berusia 43 tahun itu tampil menyempurnakan perjalanan persembahan Queen of The Night Datuk Seri Siti Nurhaliza anjuran B’ De Paris bertempat di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur, malam Sabtu lalu.

Siti menghiburkan peminat yang datang dari pelbagai lapis masyarakat khususnya kaum wanita dan golongan B40 hasil sumbangan tiket yang dibeli oleh Yayasan Metamorphosis.

“Terharu saya tengok ramai datang dari banyak pelosok negara. Paling buatkan saya tersentuh dan gembira, malam ini ada penonton berbilang bangsa. Ada Melayu, Cina dan India.

“Saya tahu ramai peminat yang datang malam ini sudah lama teringin nak tengok persembahan saya, terima kasih kerana sudi hadir,” kata Siti yang ramah menyapa peminatnya.

Mungkin ada yang tidak mengetahui sebenarnya penghibur dengan nama lengkap Siti Nurhaliza Tarudin itu baru sahaja sembuh daripada jangkitan Covid-19, sehingga malam persembahan masih ada saki-baki batuk yang bersisa.

Biarpun begitu, penyanyi itu bersyukur kerana keadaannya baik-baik sahaja dan dapat melunaskan persembahan dengan sempurna.

“Buat masa sekarang saya masih ada kesan simptom iaitu batuk tetapi alhamdulillah malam ini berlangsung dengan baik. Pernafasan juga semput sedikit tetapi syukur saya puas hati dengan nyanyian.

“Seminggu sebelum persembahan, saya ada jumpa doktor tetapi alhamdulillah keadaan ini tak jejaskan nyanyian. Waktu menyanyi okey, tetapi bila dah habis, baru terasa tekak kering dan batuk-batuk,” ujar Siti.

Siti menghiburkan seisi dewan dengan seleksi 15 buah lagu dimulakan dengan Nona Zaman Sekarang, Cindai, Bukan Cinta Biasa dan medley Fly Me To The Moon dan Terukir di Bintang.
Tidak ketinggalan, Anta Permana, medley Aku Wanita dan The Power of Love, Siapa Tak Mahu, Ku Mahu, Seribu Kemanisan, Bidadari Syurga dan Lebih Indah.

SITI yang dalam rangka menerbitkan sebuah album lagu pop mengakui rindu untuk meluncurkan karya-karya bercorak tradisional.

Eksperimen

Satu yang menarik tentang acara pada malam tersebut, selaku penghibur, Siti menyajikan sebuah persembahan mega dengan menghimpunkan seleksi lagu menarik.

Paling mendapat pujian apabila penyanyi itu menyampaikan lagu Azizah dendangan asal Tan Sri P. Ramlee yang muziknya disusun semula selain Purnama Merindu versi tradisional.

“Itu yang seronok bila buat persembahan secara langsung sebab boleh lakukan macam-macam, tukar susunan lagu dan cara nyanyian.

“Supaya penonton dapat alami persembahan yang berbeza. Saya pula dapat bereksperimen dengan lagu-lagu yang dipersembahkan. Dari situ, saya tengok respons peminat, alhamdulillah mereka suka,” katanya.

Menariknya, lagu Azizah didedikasikan Siti khas buat Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah atas perjuangan mengangkat rawatan persenyawaan in-Vitro (IVF) buat kaum wanita.

“Lagu Azizah disampaikan dengan susunan dan stail yang berbeza. Sebab itu saya suka buat eksperimen dengan lagu lama.

“Aubrey Suwito juga cakap, lagu itu boleh dibuat dalam versi yang luar biasa. Apa yang saya buat adalah apa yang saya imaginasikan,” ujar Siti.

POPULAR