fbpx

Impian KL City makin tinggi melangit – Bojan Hodak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA pemain KL City meraikan kejayaan mara ke pentas final Piala AFC Zon ASEAN selepas menewaskan Viettel FC pada penentuan penalti 6-5 di Stadium Thong Nhat, Ho Chi Minh kelmarin. – KL CITY

KETUA jurulatih skuad Kuala Lumpur City (KL City), Bojan Hodak memuji mentaliti juara anak-anak buahnya untuk menewaskan kelab Vietnam, Viettel FC dengan kemenangan penentuan penalti 6-5 pada aksi separuh akhir Piala AFC Zon ASEAN kelmarin.

Pada aksi di Stadium Thong Nhat, Ho Chi Minh itu, kedua-dua pasukan gagal memecahkan kebuntuan jaringan apabila aksi berkesudahan 0-0 selepas tamat 120 minit perlawanan sehingga saingan terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.

Kata Hodak, aksi penuh ber­disiplin dipamerkan oleh skuad warga kota cukup penting terutama dalam usaha mengekang asakan yang cuba dilakukan oleh pasukan tuan rumah yang memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri.

“Seperti yang saya jangka, ­Viettel telah memberikan cabaran yang sukar buat pemain dan ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana mereka boleh dianggap antara pasukan terkuat di rantau ini.

“Namun, selepas 120 minit perlawanan, mereka hanya membuat satu percubaan di kubu gol kami dan pujian wajar diberikan kepada pasukan kerana mempamerkan aksi cukup berdisiplin khususnya menerusi aspek pertahanan.

“Kita juga memiliki peluang tetapi penjaga gol lawan berjaya menyelamatkan percubaan yang dilakukan.

“Apa yang pasti, kejayaan me­langkah ke pentas final Piala AFZ Zon ASEAN dan kami tidak mahu langkah kami terhenti setakat ini dan mahu berusaha lebih keras lagi,” katanya selepas tamat perlawanan.

KL City yang berjaya menjuarai saingan Piala Malaysia tahun lalu bakal bertemu dengan kelab Indonesia, PSM Makassar pada aksi final yang berlangsung 24 Ogos depan di Stadium Kuala Lumpur, Cheras.

Terdahulu, PSM Makassar berjaya menafikan hasrat satu lagi kelab Liga Malaysia (Liga M), Kedah Darul Aman FC (KDA) dengan kemenangan 2-1 pada aksi separuh akhir di Bali, Indonesia pada Selasa lepas.

Kali terakhir kelab Liga M bergelar juara Piala AFC adalah menerusi Johor Darul Ta’zim (JDT) yang melakukannya pada edisi 2015.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI