fbpx

Duit dalam bank berbaki RM200 sahaja – Hazami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAZAMI

PETALING JAYA- Berdepan dengan cabaran pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia termasuk Malaysia, penyanyi Hazami tidak terkecuali daripada berdepan kehilangan punca pendapatan sehingga terpaksa ‘ikat perut’.

Hazami atau nama lengkapnya Norkamal Hazami Ahmad memberitahu, duit simpanannya habis digunakan sehingga bayaran duit sewa rumahnya pernah tertunggak selama empat bulan gara-gara gara-gara tiada tawaran pekerjaan selama lebih dua tahun.

“Selama ini saya senyap. Ramai tidak tahu sewaktu pandemik melanda, saya bergelut dengan masalah kewangan. Selama empat bulan saya tidak dapat membayar duit sewa rumah.

“Saya tidak ada pekerjaan sepanjang pandemik sehinggalah pada awal tahun ini. Saya bukan jenis yang suka bercerita hal-hal sebegitu pada umum termasuk media,” katanya.

Ujar penyanyi berusia 47 tahun itu, dia sepatutnya boleh bergantung hidup menerusi pendapatan royalti menerusi karya-karya muzik yang pernah dihasilkan. Bagaimanpun ketika pandemik, berlaku masalah sistem sehingga menjejaskan pendapatan royaltinya.

“Cuba bayangkan saya tidak ada gaji tetap. Tiap-tiap bulan duit tak masuk. Asyik keluar sahaja. Duit simpanan saya habis digunakan.

“Pernah suatu hari, duit saya di dalam akaun bank cuma tinggal RM200. Tapi saya bernasib baik dibantu ahli keluarga dan adi–beradik yang sudi menghulurkan bantuan walaupun saya tidak meminta,” ujar Hazami.

Untuk meneruskan kehidupan ketika pandemik, pelantun lagu Tekad itu hampir menjual piano kesayangannya bagi demi perbelanjaan seharian.

“Sampai satu tahap, saya hampir menjual piano kesayangan saya. Menangis-nangis saya sebab sayangkan piano tersebut.

“Kalau dijual dapatlah juga duit antara RM2,800 hingga RM3,000. Tapi nasib baik saya tidak jadi menjualnya kerana tidak sanggup,” katanya kepada Kosmo! Online.

Ditemui usai sidang media program Terpaling Juara terbitan TV3 di Petaling Jaya Performing Arts Centre, semalam, Hazami bagaimanapun bersyukur apabila keadaannya kini kembali stabil apabila situasi ekonomi menjadi semakin pulih.

“Alhamdulillah. Saya sudah mula mendapat tawaran membuat persembahan sejak awal tahun sekitar bulan Februari lalu.

“Terbaharu, saya kini terlibat dengan program Terpaling Juara oleh TV3 dan bersyukur kerana sudah kembali bekerja,” jelasnya.

Hazami sebelum ini pernah hilang seketika dari radar seni hiburan tempatan sekitar tahun 2015 kerana mempunyai masalah kesihatan akibat menghidap diverticulum atau kantung darah pecah.

Keadaan tersebut menyebabkan penyanyi yang terkenal menerusi lagu Sonata Musim Salju itu mengalami sakit perut sehingga terpaksa menjalani pembedahan di sebuah hospital di ibu negara.

Malah khabar angin mengatakan penyanyi itu sudah meninggal dunia juga sempat menjadi tular dalam media sosial. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI