fbpx
FITRI NADIA menunjukkan laporan polis selepas menjadi mangsa pukau di rumahnya di Kampung Keda, Sungai Udang, Yan kelmarin.

Barang kemas lesap dipukau wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN – Seorang suri rumah mengalami kerugian kira-kira RM2,000 apabila sebentuk cincin dan rantai leher emas miliknya dilarikan seorang wanita dalam kejadian di Kampung Keda, Sungai Udang di sini pada kelmarin.

Mangsa, Fitri Nadia Bakar, 22, berkata, kejadian berlaku pada pukul 10.45 pagi ketika dia tinggal berdua bersama anaknya, Hanif Azrul Fikri, 2, manakala suaminya, Azrul Fitri Abdul Ghani, 24, keluar bekerja sebagai pemandu lori.

“Pada masa itu saya sedang mengemas rumah sebelum terdengar suara wanita memberi salam dan bergegas ke pintu hadapan untuk melihat siapa yang datang.

“Sebaik tiba di pintu, saya ternampak seorang wanita berbaju kurung warna ungu memegang fail bertanya sama ada saya mempunyai barang kemas,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Fitri Nadia mendakwa, dia kemudian seolah-olah hilang ingatan dan tidak mengetahui apa yang berlaku selepas itu.

“Saya hanya menyedari cincin dan rantai leher yang sering dipakai tiada di jari dan leher semasa berurusan di sebuah bank di sini kira-kira sejam kemudian.

“Bimbang tercicir di rumah, saya mencari di serata tempat di dalam rumah sebaik pulang dari bank, namun tidak me­nemuinya,” katanya.

Menurutnya, selepas mandi dia baru teringat kejadian didatangi seorang wanita yang bertanyakan barang kemasnya dan percaya barang berharga itu dilarikan wanita terbabit.

“Saya seolah-olah dipukau oleh wanita itu kerana sebaik bertentang mata dengannya, saya langsung tidak menyedari apa yang berlaku.

“Cincin yang merupakan mas kahwin dan rantai leher, hantaran kahwin daripada suami saya itu sering dipakai sepanjang masa dan tidak pernah ditanggalkan untuk disimpan,” katanya yang membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan.

POPULAR