fbpx

Bukan kisah penyiasatan klise, angkat wanita jadi hero

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SIRI Murder By Moonlight mula bersiaran sejak 1 Ogos lalu pada pukul 9.00 malam, boleh ditonton di saluran Astro Citra, saluran 108 atau strim di platform Astro Go atau On Demand.

LARI daripada kebiasaan, drama bersiri, Murder By Moonlight (MBM) bakal membawa para penonton untuk bersama-sama merungkai misteri dan pencarian dalam kes-kes jenayah yang mengancam nyawa.

Uniknya, drama premium lapan episod tersebut diarahkan oleh seramai empat pengarah hebat iaitu Mien.Ly, Khairil M. Bahar, Gavin Yap dan Tony Pietra Arjuna.
Menurut Mien. Ly, drama berkenaan menampilkan kelainan daripada naskhah bergenre penyiasatan lain kerana mengangkat pelakon wanita sebagai hero iaitu lakonan Sara Ali.

“Menerusi drama ini, kami mengangkat karakter wanita sebagai hero bagi menyelesaikan segala misteri yang terkandung dalam drama ini.

“Memang berbeza sebab selalunya penyiasat mesti orang lelaki, jadi inilah antara kelainan yang kami berempat cuba tampilkan dalam MBM,” katanya pada sidang akhbar baru-baru ini.

Malah, penggunaan latar masa bagi jalan cerita pula menggunakan era pandemik yang melanda seluruh dunia pada dua tahun lalu.

DITERAJUI empat pengarah muda aliran ‘indie’, siri Murder By Moonlight juga menampilkan watak wanita sebagai watak utama.

Meletakkan pelbagai kelainan, Mien memberitahu para pengarah turut mengetengahkan kepelbagaian kaum dan bahasa menerusi pemilihan pelakon.

“Jalan ceritanya juga mengenai kehidupan sepanjang musim pandemik dan semua itu memang sudah dialami semua orang, bezanya, kami gunakan latar masa tersebut dalam drama misteri ini.

“Kami berempat juga mahu mempersembahkan keluarga Malaysia yang muhibah dari segi skrip, dialog, barisan pelakon dan kombinasi latar kerjaya setiap watak seperti penulis, doktor, pempengaruh serta sebagainya.

“Kami juga membawakan tema ‘Who Dunnit’ dalam genre ‘murder mystery’ ini, semua karakter boleh menjadi suspek pembunuh,” ujarnya.

Mien yang merangkap penerbit eksekutif berkata, bekerja dengan tiga pengarah merupakan satu pengalaman yang berbeza, terutama melihat cara idea divisualkan.

Katanya, cabaran utama setiap pengarah ialah perlu tahu dan faham semua skrip setiap episod daripada pengarah berbeza agar visual dan kandungan dapat dipersembahkan secara konsisten.

“Pengalaman yang hebat. Mereka semua ada visi, idea, visual tersendiri. Apabila digabungkan, hasilnya sangat menakjubkan.

“Kami juga menyelitkan unsur penyiasatan klasik seperti dalam karya Agatha Christie dan moden supaya drama ini kekal relevan.

“Jadi, hasilnya memang lari daripada klise cerita penyiasatan lain. Memang boleh dibanggakan sebab semua itu dimasukkan dalam sebuah naskhah terbitan anak Malaysia,” ujarnya.

Jalan cerita ‘pelik’

Sebagai pelakon terbabit, Sharifah Amani pula menyifatkan MBM jauh berbeza daripada naskhah lakonan terdahulunya kerana membariskan empat orang pengarah muda berbakat besar.

Dia juga tidak berfikir panjang untuk menerima tawaran tersebut, terutama melihat senarai pasukan produksi yang menjayakan MBM.

“Rasa bangga melihat senarai pengarah, mereka semua daripada aliran indie dan kami memang geng.

“Peluang sebegini sangat jarang dan jalan ceritanya pula pelik ditambah pula dengan campuran budaya, bahasa dan kaum. Sudah lama kita tak lihat karya sebegini diketengahkan dan dikomersialkan,” tuturnya.

Tambah bintang filem Sepet itu, perasaan terujanya terhadap drama ini membuak-buak kerana pernah bekerja dengan hampir semua pelakon terbabit.

“Walaupun bekerja dengan empat orang pengarah dan kedengaran seperti sukar, namun realitinya tidaklah begitu teruk. Pemikiran dan cara mereka mengetengahkan idea sangat hebat dan segar.

“Bagusnya ialah mereka mengangkat kaum wanita sebagai teraju utama bagi menyelesaikan segala konflik dan misteri. Naskhah sebegini yang kita patut banggakan dan tonton,” katanya lagi.

Selain Sara dan Sharifah Amani, drama terbitan Astro Shaw tersebut menampilkan pelakon hebat lain seperti Wan Hanafi Su, Sharifah Amani, Thanuja Ananthan, Brian Chan, Radhi Khalid, Riz Amin, Ruzana Ibrahim, Hana Nadira, Tiara Anchant, Amanda Ang dan Amir Ameezan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI