KUALA LUMPUR – Dua wanita antara enam individu yang diberkas kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah jenis syabu dianggarkan bernilai kira-kira RM1.3 juta.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, polis mengesan dua kereta jenis Honda City dan Toyota Vellfire dalam keadaan mencurigakan di pekarangan sebuah kondominium sekitar Jalan Sultan Ismail, di sini petang semalam.
“Kereta jenis Toyota Vellfire terbabit dinaiki oleh seorang lelaki dan dua wanita dalam keadaan mencurigakan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati dua lelaki yang menaiki Honda City membawa dadah jenis syabu seberat 38,161 gram (g) di dalam bonet kereta mereka sebelum merampas dadah yang dianggarkan bernilai RM1.3 juta itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Dellhan, polis juga telah merampas sebanyak 1.7 (g) dadah jenis syabu milik salah seorang suspek.
“Siasatan awal mendapati dadah berkenaan dibawa dari Pantai Timur untuk diserahkan kepada penerima di ibu kota.
“Susulan itu, tangkapan dijalankan pada hari yang sama terhadap seorang lagi lelaki yang merupakan ahli sindiket berperanan sebagai penerima untuk membawa dadah ke lokasi lain,” ujarnya.
Jelasnya, ujian saringan air kencing ke atas kesemua individu yang berusia lingkungan 20 hingga 49 tahun itu mendapati tiga suspek positif dadah jenis syabu.
“Kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini di bawah Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – KOSMO! ONLINE