SUNGAI PETANI – Keinginan untuk bekerja pada usia muda selain tempoh pengajian yang terlalu panjang menjadi antara alasan ramai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membuat keputusan untuk tidak menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Berdasarkan tinjauan Kosmo!, rata-rata daripada pelajar berkenaan mengakui, mereka sebenarnya layak untuk menyambung pengajian sekurang-kurangnya ke kolej, institut latihan swasta dan pusat kemahiran, namun memilih untuk bekerja sebaik tamat persekolahan.
Malah, ada dalam kalangan mereka yang mendakwa, kejayaan memiliki sijil, diploma ataupun ijazah bukan lagi satu jaminan untuk hidup lebih senang pada masa hadapan.
Zulhelmi Norizan, 19, dari Taman Kelisa Ria di sini berkata, berdasarkan keputusan SPM yang diterima baru-baru ini, dia layak untuk memasuki institut kemahiran, namun membuat keputusan untuk membantu bapanya berniaga sayur.
“Bukan tidak minat untuk menyambung pelajaran, tetapi saya rasa lebih selesa bekerja dan memperoleh wang untuk kegunaan harian dan simpanan.
“Lagipun, keadaan ekonomi ketika ini tidak menentu selain peluang pekerjaan yang sangat terhad menyebabkan saya fokus untuk mencari rezeki berbanding sambung belajar,” katanya.
Di George Town, Pulau Pinang, penghantar makanan dikenali Fauzi, 18, mendakwa, tidak semua bidang yang dipelajari di peringkat tinggi boleh menjamin masa depan bagi pelajar lepasan SPM sepertinya.
Dia mengakui, keputusan SPM yang diperoleh baru-baru ini agak baik dan berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat diploma.
Bagaimanapun, Fauzi memilih untuk bekerja sendiri sebagai penghantar makanan.
“Siapa yang mahu sambung belajar itu hak mereka, tetapi bagi kebanyakan pelajar dari keluarga B40, cari rezeki itu lebih utama.
“Lagipun, seperti membuang masa apabila perlu menyambung pengajian selama tiga ke empat tahun, sedangkan dalam tempoh itu, kami boleh bekerja untuk bantu keluarga,” katanya.
Pembantu sebuah pasar raya mini dikenali Ariana, 18, pula mengakui, dia cukup selesa dengan kerjanya ketika ini yang dibayar gaji RM1,500 sebulan.
“Hendak belajar tinggi-tinggi tetapi akhirnya jadi suri rumah juga. Saya ambil contoh seorang kakak saya yang dahulunya merupakan pelajar cemerlang di sebuah universiti tempatan.
“Kakak jenuh cari kerja yang sesuai dan hadir banyak sesi temu duga, tetapi yang dapat adalah bidang lain yang dipelajarinya. Kakak kemudiannya bekerja kilang dengan gaji bawah RM1,800 sebulan,” tambahnya.
Di Shah Alam, Selangor, seorang bekas calon SPM dikenali Aisyah, 20, berkata, persaingan yang begitu tinggi dalam dunia pekerjaan membuatkannya lebih memilih mencari rezeki awal berbanding sambung belajar.
Katanya, bekerja sebagai pembantu jualan kedai kek bukan hanya memberikan pendapatan, malah kerjaya itu turut menghadiahkan pengalaman berharga kepadanya untuk menjadi seorang usahawan.
“Selain menjual, saya turut belajar membuat kek. Jadi, kemahiran dapat dipertingkatkan dengan terus masuk dalam industri kerja.
“Sambung belajar atau tidak adalah pilihan. Saya perlu berusaha lebih untuk pastikan dapat berjaya seperti mereka yang sambung pengajian. Niat kami sama iaitu membantu keluarga,” katanya yang memperoleh pendapatan RM2,000 sebulan.
Terdahulu, kaji selidik Jabatan Perangkaan mendapati kira-kira 390,000 atau 72.1 peratus lepasan SPM daripada keseluruhan lebih 560,000 calon tidak mahu menyambung pelajaran selepas tamat tingkatan lima.
Kajian itu kemudian mendapat respon Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin yang menjelaskan, kadar gaji rendah dan tidak banyak berubah setelah sekian lama menjadi antara cabaran dalam memastikan kalangan pelajar terus menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.















