fbpx

Masa sesuai untuk PRU-15

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebarang perubahan pada kerajaan yang memerintah mungkin bakal menyaksikan perubahan pada Bajet 2023.
IKHWAN IDERIS, WARTAWAN EKSEKUTIF

SUASANA ekonomi global kini sangat mencabar, tatkala banyak negara dilihat masih bergelut untuk mencapai pemulihan pasca pandemik akibat dipengaruhi ketegangan geo-politik, lonjakan inflasi dan kelembapan pertumbuhan ekonomi dunia.

Ramai terpaksa berdepan kenaikan harga barang secara me­lampau dipengaruhi peningkatan harga komoditi global termasuk minyak mentah, gas asli, gandum dan kacang soya.

Kadar inflasi di Amerika Syarikat misalnya mencecah 9.1 peratus pada Jun lalu, sementara inflasi di Zon Eropah mencapai 8.6 peratus, manakala negara jiran, Thailand mencatatkan inflasi 7.7 peratus.

Ekonomi terbesar dunia, Amerika Syarikat kini secara teknikalnya boleh dikatakan dalam fasa kemelesetan ekonomi setelah keluaran dalam negara kasar (KDNK) merosot buat suku tahun kedua berturut-turut, pada -1.6 peratus untuk suku pertama dan -0.9 peratus bagi suku kedua 2022.

Melihat situasi di luar negara, keadaan di Malaysia masih boleh dianggap stabil, dengan kadar inflasi pada Jun 2022 hanyalah 3.4 peratus, disokong polisi pemberian subsidi oleh kerajaan yang diunjurkan menghampiri angka RM80 bilion tahun ini.

Negara turut merekodkan pertumbuhan KDNK yang baik pada lima peratus untuk suku tahun pertama 2022.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam sesi wawancara bersama CNN baru-baru ini berkata, angka bagi suku tahun kedua, yang dijadualkan diumumkan pada 12 Ogos ini adalah lebih baik berbanding suku pertama.

Semua ini mungkin sekali mampu memberikan persekitaran yang cukup baik untuk kerajaan melaksanakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dalam tempoh masa terdekat.

Penulis sedar angka-angka di peringkat nasional seperti pertumbuhan KDNK dan kedudukan inflasi sama sekali tidak mampu mengukur secara tepat cabaran dihadapi rakyat dan sentimen mereka terhadap kerajaan, namun setidak-tidaknya prestasi ekonomi negara yang kukuh pastinya membantu.

Paling lewat PRU-15 boleh diadakan pada Julai 2023, namun tahun depan menjanjikan cabaran baharu dan sukar dijangka kepada prestasi kerajaan serta ekonomi negara.

Malah, Tengku Zafrul dalam temu bual bersama CNN turut mengaku bimbang akan cabaran yang bakal dihadapi tahun depan dan menyatakan polisi ekonomi negara mungkin perlu dilihat semula bergantung kepada prestasi ekonomi dunia.

Bagi Pensyarah Kanan Putra Business School, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul La­tiff, PRU-15 mungkin sekali bakal diadakan tahun ini, iaitu selepas pembentangan Bajet 2023 yang dijadualkan pada Oktober depan.

Beliau melihat Bajet 2023 bakal menjadi medan pertembungan antara pihak kerajaan dan pembangkang untuk menjanjikan dasar serta polisi yang dianggap terbaik untuk rakyat dan negara.

“Saya beranggapan bajet yang dibentangkan kerajaan nanti tidak mendapat sokongan daripada pihak pembangkang sehingga bakal membawa kepada pembubaran parlimen.

“Dari situ, rakyat boleh memilih dasar dan polisi siapa yang menjadi pilihan mereka untuk pembentukan kerajaan baharu nanti selepas pilihan raya,” ujar­nya.

Pada masa sama, Ahmed Razman melihat pelaksanaan PRU tahun ini sedikit sebanyak boleh membawa manfaat buat negara, dari segi kesinambungan dasar dan polisi kerajaan untuk tahun depan.

“Sekiranya diadakan pada tahun depan, sebarang perubahan pada kerajaan yang memerintah mungkin bakal menyaksikan perubahan pada Bajet 2023 yang telah dibentangkan lebih awal.

“Jadi supaya perancangan untuk tahun 2023 nanti lebih tersusun, ada eloknya PRU-15 diadakan dalam tahun ini juga supaya pihak yang menang nanti boleh melakukan pindaan pada Bajet 2023 sekiranya ada keperluan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI