fbpx

Komitmen UPM jadikan Mersing bersih, indah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA peserta berpuas hati dapat mengumpulkan sebanyak 602kg sampah sepanjang program pembersihan pantai bertemakan Keep Our Beach Beautiful di Mersing.

DEMI semangat cintakan alam sekitar, buat julung-julung kalinya, Jabatan Kimia, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan aktiviti pembersihan pantai di sekitar daerah Mersing, Johor baru-baru ini.

Program yang mendapat kerjasama Majlis Daerah Mersing itu berlangsung selama tiga hari dengan bertemakan Keep Our Beach Beautiful.

Menariknya, program itu turut melibatkan 34 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kajang Utama (KUSeS), Selangor bagi memupuk kesedaran tentang kebersihan pantai.

Penyelaras program, Dr. Ili Syazana Johari berkata, rasa bertanggungjawab itu perlu dipupuk dari peringkat awal dan tidak hanya terhad dalam menjaga kebersihan pantai.

“Ramai orang suka berkunjung ke pantai, terutama ketika cuti sekolah tetapi mengambil sikap sambil lewa tentang pengurusan sampah di kawasan berkenaan.

“Sepanjang program ini, kami temui banyak bekas makanan dan minuman serta botol plastik,” katanya.

Jelas Dr. Ili Syazana, sampah terutama yang diperbuat daripada plastik bukan sahaja mencacatkan pemandangan, malah turut mencemari pantai.

Terpancar keceriaan pada wajah para pelajar sekolah setelah selesai aktiviti membersihkan pantai.

Tambahnya, sampah plastik yang ditinggalkan di tepi pantai berpotensi dibawa arus ke dalam laut semasa air pasang hingga boleh memberi ancaman kepada hidupan laut.

“Sisa plastik yang terurai di dalam laut lama-kelamaan boleh bertukar menjadi mikroplastik. Ia merupakan plastik yang mengalami proses pereputan hingga menjadi partikel halus bersaiz kurang daripada 5 milimeter.

“Pencemaran mikroplastik ini merupakan ancaman besar kepada hidupan laut. Ia juga boleh memudaratkan kesihatan manusia sekiranya ikan dicemari mikroplastik yang ditangkap,” katanya kepada iGen.

Sepanjang berlangsungnya aktiviti pembersihan pantai di sekitar kawasan Pantai Bandar dan Pantai Air Papan itu, sebanyak 602 kilogram (kg) sampah berjaya dikumpul dan dilupuskan.

PARA peserta berpuas hati dapat mengumpulkan sebanyak 602kg sampah sepanjang program pembersihan pantai bertemakan Keep Our Beach Beautiful di Mersing.

Kebanyakan sampah dikumpulkan terdiri daripada bekas makanan dan minuman serta botol plastik.

Menurutnya, pantai Mersing adalah salah satu tempat tumpuan pelawat sama ada dari dalam mahupun luar negara, selain menjadi destinasi persinggahan penyu bertelur.

“Masyarakat perlu ada kesedaran betapa pentingnya kawasan pantai bersih dan selamat bagi membolehkan penyu mendarat,” katanya.

Para pelajar turut diberi taklimat berkenaan kempen pemuliharaan penyu oleh wakil organisasi bukan kerajaan, Tengah Island Conservation, Mohd. Alzam Affendy.

Selain itu, pelajar juga diberi penerangan tentang jenis-jenis plastik dan pengurusan bahan buangan oleh pensyarah Jabatan Kimia, Fakulti Sains UPM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI