fbpx

Bayi 6 bulan maut dibawa ‘melancong’ 500 kilometer naiki motosikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FJ berkongsi foto mayat anaknya yang dibalut kain kafan selepas meninggal dunia apabila pulang dari Surabaya. - Twitter

JAKARTA – Seorang bayi berusia 6 bulan meninggal dunia selepas dibawa ibu bapanya menaiki motosikal dari Jawa Tengah ke Jawa Timur untuk menonton perlawanan bola sepak, lapor laman berita Coconut News hari ini.

Perkara tersebut disahkan oleh bapa mangsa yang dikenali sebagai FJ menerusi perkongsian di laman Twitter.

 FJ berkata,  dia dan isteri membawa anak mereka menaiki motosikal dari Tegal, Jawa Tengah ke Surabaya di Jawa Timur pada 30 Julai lalu kerana mahu menonton pasukan bola sepak kegemarannya beraksi.

Menurutnya, mereka bertolak dari Tegal pukul 5:38 petang (waktu tempatan)  pada Sabtu lalu dan tiba di Surabaya jam 7.15 pagi keesokan harinya.

Jarak antara dua wilayah itu adalah sekitar 500 kilometer (km).

Bagaimanapun, sebaik tiba di rumah, bayi itu mula batuk dan sukar bernafas. Ibu bapanya  membawa anak mereka ke hospital,  namun dia meninggal dunia walaupun doktor berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkannya.

“Ini semua berlaku disebabkan oleh kebodohan, ego dan keangkuhan saya.

“Saya harap saya seorang sahaja yang bersikap bodoh seperti ini,” tulis FJ dalam catatan itu.

Bapa itu berkata, dia ingin berkongsi kisahnya supaya menjadi teladan  kepada semua ibu bapa.

Setakat ini, punca kematian rasmi bayi itu tidak didedahkan.

Pakar pediatrik, Dr Kurniawan Satria Denta, melalui komen di laman Twitter menasihati ibu bapa supaya tidak membawa bayi mereka menaiki motosikal.

“Antara risikonya ialah hipotermia. Bayi kecil tidak boleh terlampau sejuk. Bayi yang mengalami hipotermia berisiko tinggi mengalami masalah pernafasan dan metabolik dan berisiko tinggi juga untuk tidak sedarkan diri,” tulisnya. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI