PENGALAMAN membuahkan banyak kematangan. Begitulah juga dengan si genit bernama Zara Zya. Dia semakin bijak mengatur bicara tatkala bercakap tentang kehidupan, baik peribadi mahupun karier. Kebetulan, akhir-akhir ini, namanya kembali menyita perhatian menerusi watak isteri kedua dalam naskhah bersiri Risik Pada Hati.
Dek ledakan emosi yang masih berbaki, sengaja juga wanita berusia 36 tahun itu dipilih sebagai penyeri Pose minggu ini.
Masakan tidak meledak, drama tersebut turut dibarisi pelakon hebat lain seperti Ummi Nazeera dan Alif Satar.
Memegang watak sebagai isteri kedua, pemilik nama lengkap Zainurul Razia Mohd Zainuddin itu berjaya menuai simpati ramai terhadap karakter bernama Aisyah yang dijayakan dengan cemerlang.
Meskipun, siarannya sudah melabuhkan tirai, kisah poligami yang diketengahkan dalam drama tersebut masih hangat diperkatakan netizen sehingga hari ini.

Tolak jadi isteri kedua
“Susahnya soalan!” tuturnya ketika dilayang persoalan, sanggupkah sekiranya diajak berkongsi kasih atau dipertemukan jodoh dengan lelaki berstatus suami orang, sama seperti wataknya dalam Risik Pada Hati.
Tidak menepis apatah lagi minta dibekukan persoalan tersebut, wanita yang pernah popular menerusi drama Pia itu bertegas, berstatus isteri kedua apatah lagi hidup bermadu kasih dengan wanita lain bukan satu perkara lazim yang berlegar dalam fikirannya.
“Seboleh-bolehnya saya akan mengelak dan tak mahulah semua itu berlaku dalam hidup saya.
“Jika terjadi sekali pun, saya akan cuba letak emosi ke tepi. Namun, makan tahun, semua itu akan membuatkan kita makan hati dan akhirnya tidak memberikan apa-apa,” katanya kepada Pose.
Bukan berniat untuk menolak takdir, jika itulah tercipta untuknya, tetapi selagi belum terjadi, sebaik-baiknya istilah hidup bermadu bukan sesuatu yang mahu diundang, jika boleh, pasti ditepisnya selagi terdaya.

Suami orang
Berstatus solo, berjaya dalam karier lakonan bahkan ada perniagaan sendiri, glamor dan semua pencapaian itu barangkali menyekat seseorang wanita didekati lelaki biasa-biasa, Zara tidak menafikan.
Akuinya, dia juga pernah didekati lelaki berstatus suami orang.
“Sebenarnya, semakin berjaya seorang wanita, semakin sukar didekati orang (lelaki).
“Orang takut sebenarnya. Tipulah jika saya kata tiada yang mendekati saya seperti lelaki berstatus suami orang.
“Mereka tidaklah yang hantar mesej dalam media sosial tetapi ada dalam kalangan yang saya bertemu secara bersemuka, namun saya menolaknya dengan cara profesional daripada terus berlarutan,” katanya tidak berkongsi lanjut mengenai individu tersebut.
Usai berbicara perihal prinsip kriteria jodoh, dramatis yang mula dikenali menerusi drama Love You Mr. Arrogant bersyukur dengan perjalanan karier sepanjang lebih 10 tahun bergelar anak seni.
Dihujani jutaan pujian tidak kurang juga kritikan membina, anak kelahiran Lenggong, Perak itu enggan membiarkan dirinya hanyut dalam arus mengasyikan itu.
“Siapa yang tak suka dipuji, saya juga seorang manusia biasa tetapi kalau boleh tak mahu membiarkan jiwa berada di awan-awangan.
“Bukan sombong cuma saya tak mahu lalai atau terleka sehingga boleh memberi kesan negatif dalam kerjaya.
“Namun, tanpa sedar, semua itu akan buat kita terlalu selesa dengan kedudukan dan prestasi sekarang hingga terlupa untuk memperbaiki kelemahan atau menambah baik skil lakonan,” jelasnya panjang lebar.
Alah bisa tegal biasa, Zara juga meletakkan pujian dan kecaman di tempat yang seimbang.
“Saya sedar ramai yang meraikan lakonan saya dengan pelbagai pujian.
“Sebenarnya pujian dan kecaman memang diperlukan tetapi perlu seimbanglah. Janganlah sedap sangat makan kata-kata manis orang sampai tak sedar silap sendiri.
“Lama-kelamaan benda itu boleh makan diri sendiri dan akhirnya tiada sebarang improvisasi dalam karier,” jelasnya.
Dalam masa sama, Zara juga mengakui berasa sedikit terbeban dengan pujian orang terhadapnya
“Sangat terbeban sebenarnya, memang ramai yang puji tetapi hakikatnya semua seakan-akan meletakkan satu harapan tinggi kepada saya.
“Insya-Allah saya akan perbaiki sebaik mungkin dan berikan yang terbaik kepada semua. Alhamdulillah untuk setiap kasih sayang peminat,” tutupnya.















