fbpx

Polis nafi berlaku pergaduhan kaum di Sungai Petani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dakwaan konon berlaku pergaduhan antara kaum di Sungai Petani akibat insiden tetak baru-baru ini adalah palsu.

SUNGAI PETANI – Polis menafikan dakwaan konon berlaku pergaduhan antara kaum di sini seperti yang tular di Facebook baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, penyebaran maklumat itu adalah palsu dan dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, tindakan tersebut boleh mencetuskan kegemparan awam terutama dalam kalangan penduduk di daerah ini.

“Tiada kejadian seumpama itu berlaku di daerah ini dan diharapkan pihak terbabit menghentikan penyebaran maklumat palsu tersebut.

“Kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas jika didapati berita itu masih tular sehingga merimaskan ketenteraman awam penduduk daerah ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Difahamkan penyebaran berita palsu itu tercetus ekoran kejadian seorang pengawal keselamatan yang ditetak dengan pedang oleh seorang lelaki di sebuah tapak projek perumahan di Bukit Banyan di sini Khamis lalu.

Zaidy berkata, tindakan boleh dikenakan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu menyebarkan berita palsu selain mengguna pakai Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKDMM) 1988.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan perkara tersebut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Inspektor Ranveer Singh Purba Sintokh Singh di talian 018-4674764 atau 04-4299222.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengesahkan pengawal keselamatan yang cedera parah akibat ditetak dengan pedang samurai itu meninggal dunia hari ini.

Allahyarham Ismail

Difahamkan, mangsa, Ismail Ahmad, 58, meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim di sini kira-kira pukul 6.15 petang tadi.

“Mayat mangsa akan dihantar ke Jabatan Forensik hospital sama untuk proses bedah siasat,” katanya ketika dihubungi pemberita. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI