fbpx
Pascal Gross (jersi 13) menyumbangkan kedua-dua gol Brighton & Hove Albion untuk menewaskan Manchester United 2-1 di Old Trafford, sebentar tadi.

Liga Perdana Inggeris: Brighton hadiahkan kekalahan sulung Man United

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON – Pascal Gross memastikan pengendali baharu Manchester United, Erik ten Hag memulakan kariernya di Liga Perdana Inggeris dengan langkah kiri selepas membantu Brighton & Hove Albion raih kemenangan 2-1 di Stadium Old Trafford, sebentar tadi.

Walaupun mengharungi pramusim dengan agak baik, keputusan itu meletakkan pengurus dari Belanda berkenaan dalam realiti sebenar dan pastinya menjamin kerja tambahan sebelum meneruskan aksi bertemu Brentford, 14 Ogos nanti.

Man. United memulakan aksi dengan agak baik dan minit ke-7, Bruno Fernandes hampir membuka jaringan sebaliknya rembatan dilakukannya di depan kotak penalti lawan melambung tinggi.

Baki aksi di babak pertama seakan lebih berpihak kepada Brighton yang memiliki lebih banyak peluang dan minit ke-30, pelawat akhirnya berjaya berada di depan hasil jaringan Gross.

Selang sembilan minit selepas itu, kegagalan penjaga gol Man. United, David de Gea untuk menangkap kemas rembatan Solly March membawa padah apabila Gross bertindak pantas untuk melakukan tindakan susulan sekaligus menghasilkan jaringan kedua buat The Seagulls.

Hanya lapan minit selepas aksi bersambung, Ten Hag akhirnya menurunkan Ronaldo bagi menggantikan Fred namun kecemerlangan penjaga gol lawan, Robert Sanchez terus menghadirkan kekecewaan buat Red Devils.

Bagaimanapun, minit ke-68, usaha Alexis Mac Allister untuk mengeluarkan pasukannya daripada situasi bahaya bertukar tragedi apabila bola yang cuba dikeluarkan atas garisan gol tertampan kepada Sanchez untuk menghadiahkan gol pertama Man. United.

Walaupun tuan rumah menggandakan serangan, tiada lagi tambahan jaringan mampu dihasilkan sekaligus beri permulaan negatif buat Ten Hag di Liga Perdana Inggeris.

Keputusan perlawanan lain Leicester City 2 – 2 Brentford. – – KOSMO! ONLINE

POPULAR

BERITA BERKAITAN