fbpx

Empat lagi Poliklinik Kesihatan ATM dalam pembangunan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HISHAMMUDDIN menolak seoran veteran ATM bagi mendapatkan rawatan hemodialisis di Poliklinik Kesihatan ATM Kem Penrissen, Kuching semalam.

KUCHING – Terdapat empat buah lagi Poliklinik Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini dalam pelbagai peringkat pembangunan, di bawah agenda kesihatan Kementerian Pertahanan (MINDEF).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tiga buah Poliklinik Kesihatan ATM di Kluang, Johor; Seberang Takir, Terengganu; dan Sungai Petani, Kedah kini dalam proses pembinaan, manakala sebuah lagi di Kuantan, Pahang sudah memasuki proses tender.

“Matlamat utama MINDEF dan ATM dalam melaksanakan inisiatif ini adalah untuk memperkukuhkan lagi perkhidmatan rawatan kesihatan bagi para anggota agar ia lebih efisien, pelbagai dan menyeluruh berbanding kemudahan sedia ada yang terdapat di Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT) dan Pusat Pergigian Angkatan Tentera (PGAT).

“Antara fasiliti yang disediakan di Poliklinik Kesihatan ATM ini termasuklah dewan bedah; wad pesakit; unit rehabilitasi; klinik tentera; kesihatan keluarga; unit kecemasan; pusat hemodialisis; perkhidmatan kesihatan awam; dan perkhidmatan pergigian.

“Fasiliti-fasiliti ini bukan sahaja boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh anggota ATM tetapi juga Veteran ATM serta ahli keluarga mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Poliklinik Kesihatan ATM di Kem Penrissen, di sini semalam.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd. Aziz; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain dan Pihak Pengurusan Tertinggi Kementerian Pertahanan dan ATM.

HISHAMMUDDIN merasmikan Poliklinik Kesihatan ATM Kem Penrissen semalam.

Poliklinik Kesihatan ATM Kem Penrissen dengan keluasan 13,643 meter persegi bakal memberi manfaat kepada lebih 12,000 anggota ATM, keluarga serta Veteran ATM di Kuching dan kawasan sekitar untuk menikmati kemudahan kesihatan yang selesa dan lebih baik.

Ia memiliki kemudahan perkhidmatan lengkap meliputi perkhidmatan Klinik Tentera, Klinik Kesihatan Keluarga, Unit Kecemasan, Dewan Bedah, Wad Pesakit Dalam, Pusat Hemodialisis, Unit Rehabilitasi, Perkhidmatan Pergigian dan Perkhidmatan Kesihatan Awam, Makmal Perubatan, Farmasi dan Pengimejan (X-ray).

Projek bernilai RM28.4 juta itu dilaksanakan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan siap sepenuhnya pada 21 Mac tahun ini.

Pembinaannya bermula pada 21 November 2017, yang mana Hishammuddin turut hadir bagi menyempurnakan majlis pecah tanah bagi memulakan projek pembinaan.

Ia merupakan salah satu daripada lima buah Poliklinik Kesihatan ATM yang dimulakan  perancangannya di bawah agenda kesihatan MINDEF sejak Februari 2016.

Pelaksanaan projek Poliklinik Kesihatan ATM sedikit tertangguh sejak Mei 2018 sehingga awal tahun 2020, namun hasil tumpuan kepimpinan tertinggi MINDEF selepas itu, pembinaan kembali dilaksanakan mengikut perancangan.

Ujar Hishammuddin lagi, keselamatan, kesihatan serta kebajikan warga ATM serta penduduk merupakan usaha yang sentiasa dititikberatkan pihak kementerian agar ia dapat diberikan secara adil dan sama rata.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI