fbpx
ORANG ramai menunggu dalam barisan untuk menerima vaksin cacar monyet di Pusat Sukan Balboa di Los Angeles, California pada 27 Julai lalu. - AFP

AS isytihar cacar monyet sebagai darurat kesihatan awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) mengisytiharkan wabak cacar monyet sebagai darurat kesihatan awam, dua minggu selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meningkatkan klasifikasi virus itu, lapor laman berita RT kelmarin.

Setiausaha Kesihatan, Xavier Becerra mengumumkan pengisytiharan itu dalam satu sesi taklimat dengan memberitahu bahawa White House menggesa setiap penduduk mengambil serius mengenai wabak cacar monyet.

Menerusi pengisytiharan tersebut, pentadbiran Presiden Joe Biden boleh mengakses lebih banyak pembiayaan untuk bertindak balas terhadap virus itu, seperti membeli dos atau rawatan vaksin daripada firma farmaseutikal.

WHO mengisytiharkan cacar monyet sebagai ‘darurat kesihatan awam bagi kebimbangan antarabangsa’ akhir bulan lalu, satu tahap di bawah status pandemik yang diberikan terhadap Covid-19.

San Francisco dan Bandar Raya New York telah mengisytiharkan darurat kesihatan awam ke atas wabak itu, begitu juga dengan negeri New York dan Illinois.

Lebih 6,000 kes cacar monyet direkodkan di AS sejak Mei lalu dengan sebahagian besar melibatkan komuniti lelaki gay. 

Tidak jelas sama ada virus itu disebarkan secara seksual atau hubungan seksual lanjutan. Bagaimanapun, Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus bulan lalu berkata, lelaki yang sering bertukar pasangan dalam kalangan sesama jantina ketika melakukan hubungan seks adalah amat berisiko.

Menurut laporan terbaharu WHO yang diterbitkan akhir bulan lalu, 16,000 kes cacar monyet direkodkan di 75 buah negara seluruh dunia dengan lima kematian dikaitkan dengan virus tersebut.

Daripada angka itu, kira-kira 98 peratus pesakit dikenal pasti sebagai lelaki yang melakukan hubungan seks sejenis. – Agensi

POPULAR