fbpx
Gambar hiasan.

Jangan percaya SMS bantuan kewangan MySejahtera – MCMC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Orang ramai diingatkan agar sentiasa berwaspada dan tidak terpedaya jika menerima pesanan ringkas (SMS) daripada ID Penghantar ‘GOV’ menggunakan nama organisasi MySejahtera memaklumkan bantuan khas kewangan telah dikreditkan ke akaun Touch N Go (TNG) eDompet mereka.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, pihaknya mendapati terdapat penyalahgunaan ID Penghantar ‘GOV’ di mana pihak tidak bertanggungjawab telah memanipulasikan ID tersebut untuk tujuan penipuan.

“Untuk makluman, hebahan SMS melalui ID Penghantar ‘GOV’ dikhususkan bagi membuat Pesanan Khidmat Awam (PKA) berkenaan inisiatif-inisiatif oleh kementerian dan agensi kerajaan yang terlibat.

“Peringatan ini dikeluarkan sejajar dengan penafian oleh pihak MySejahtera berkenaan pesanan SMS palsu berkaitan pemberian bantuan kewangan kepada orang ramai malah pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menggesa orang ramai berwaspada dengan taktik serta modus operandi penipuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas kenyataan itu, tindakan sekatan juga telah diambil oleh MCMC ke atas akses pautan palsu tersebut.

“Orang ramai diminta sentiasa berhati-hati dan menyemak sebarang kandungan SMS yang disyaki palsu dengan cara menghubungi organisasi terlibat bagi mengelakkan anda menjadi mangsa kepada aktiviti berunsur penipuan.

“Individu yang didapati menyebarkan maklumat palsu boleh dikenakan tindakan perundangan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998,” jelas kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE

POPULAR