PERJALANAN karier seni anggota kumpulan K-Clique, MK bukanlah mudah seperti yang disangka.
Bertahun juga mencipta dan mencari tapak, barulah namanya mula dikenali dan diterima secara perlahan-lahan terutama dalam kalangan peminat muzik rap.
Tidak sekadar tampan dan menjadi kegilaan ramai golongan gadis-gadis muda, bakat seni yang menjalar dalam diri anak muda kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu juga tidak boleh dipertikaikan.
Bukan sekadar berbakat dalam bidang nyanyian umumnya sebagai seorang penyanyi rapper, tetapi bakatnya juga mula berkembang sebagai anak wayang.
Menerusi beberapa naskhah hebat seperti The Hotel, Oh My Hantaran dan filem Marabahaya Underground, Bunga dan Kayu serta Rompak, bakat lakonannya mula dipandang serius.
Bermula sekadar pelakon tambahan, kini MK semakin serius mencipta cap dagangnya sebagai pelakon, seterusnya anak seni yang versatil.
Dilamar menjayakan watak utama bergandingan bersama aktres terkenal, Nora Danish menerusi filem 7 Minggu Sebelum Kahwin, MK melihat tawaran tersebut sebagai satu peluang keemasan buatnya.

Wanita lebih tua
Bercerita lanjut, MK atau nama penuhnya Muhammad Hairi Amin Hamdan berkata, menerusi filem tersebut, dia diminta membawa watak lelaki berperwatakan maskulin yang sedang hangat menyulam cinta bersama wanita lebih berusia.
Ditebak andai watak tersebut menjadi situasi sebenar yang terpaksa dilaluinya dalam kehidupan realiti, MK berkata, dia tiada masalah andai takdirnya sudah tertulis berjodohan bersama wanita lebih tua.
Malah, rapper muda itu secara peribadi tidak malu mengakui dirinya melihat wanita lebih berusia zaman kini mempunyai kelebihan dan keistimewaan tersendiri selain jauh lebih matang dalam segenap aspek.
“Andai ditakdirkan jodoh saya dengan wanita yang sedikit berusia daripada umur saya, saya okey saja dan tiada masalah untuk itu.
“Lagipun kalau kita tengok sekarang ini ramai saja lelaki bercinta dan bernikah dengan wanita lebih berusia.
“Pada saya, perkara tersebut (beza umur) tidak perlu dijadikan isu apatah lagi persoalan. Asalkan hubungan yang dibina berkekalan dan bahagia pun sudah memadai,” katanya.
Hangat bercinta
Bertentang mata ketika ditemui usai sidang media filem terbitan KRU Studio dan Bloombordia Sdn. Bhd., MK turut diasak bagi mengesahkan hubungan percintaan dengan seorang wanita yang sering diperkatakan dalam media sosial.
Persoalan berkenaan bagaimanapun terus tergantung dan menjadi tanda tanya apabila MK tidak mengiyakan apatah menidakkan desas-desus yang tersebar luas itu.

“Saya sedang dalam proses memperbaiki diri dan menyayangi semua orang yang ada di sekeliling saya.
“Mereka termasuklah keluarga dan sahabat-handai yang sentiasa ada di sisi menyokong kerjaya seni saya selama ini.
“Kalau dah sampai masanya (kahwin) dan tiba giliran, saya janji akan beritahu dan uar-uarkan kepada semua. Benda baik kita kenalah kongsi dan tak boleh simpan,” ujarnya.
Melihat kepada jawapan yang diberikan MK sememangnya seorang yang menjaga privasi diri dan orang yang berada di sekeliling termasuk keluarga.
Tidak hanya kisah percintaan, malah perihal kesihatan ibunya juga dikunci kemas oleh MK.
Terdahulu tular dalam TikTok sebuah video MK sedang membaca surah Yasin bersama keluarga buat ibunya.
“Tentang keluarga saya minta maaf, saya tidak boleh berkongsi. Cuma saya mohon setiap orang yang mengenali saya dan keluarga mendoakan kesejahteraan dan kesihatan ibu saya.
“Buat masa ini ibu saya berada dalam keadaan yang baik dalam jagaan ahli keluarga di Sabah,” katanya mohon dimengerti.
Pendidikan
Dalam pada itu, MK meluahkan rasa gembiranya apabila terpilih sebagai duta pusat peningkatan akademik PTTI bersama penyanyi popular Iman Troye.
Membawa imej ‘bad boy’ dan menjadi duta program pendidikan dilihat seperti kurang cocok dengan MK.
Bahkan tanggungjawab yang dipikul cukup berat kerana perlu memastikan dirinya bersih daripada sebarang kontroversi supaya seiring dengan gelaran duta tersebut.
“Sebenarnya pelantikan saya sebagai duta PTTI juga membantu untuk saya mengubah diri ke arah lebih baik dan memberi contoh kepada pelajar-pelajar.
“Antara yang berubah adalah daripada segi pemakaian. Jika dahulu saya mungkin akan pakai sahaja apa yang diingini, tetapi sekarang saya akan berfikir terlebih dahulu kerana banyak mata yang melihat terutama pelajar,” tuturnya.

Selain itu, MK juga sedar pasti ada yang mempertikaikan pelantikan dari sudut kelayakan akademik. Walhal, sebelum aktif sebagai penyanyi, dia terlebih dahulu menggenggam Ijazah Sarjana Muda Pengajian Perniagaan (Kepujian) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kota Kinabalu, Sabah.
“Biasalah pasti ada pertikaian kerana pendapat orang. Saya sendiri juga rasa belum cukup baik untuk menjadi contoh kepada pelajar-pelajar di seluruh Malaysia, tetapi yang pasti saya adalah seorang yang mementingkan pelajaran.
“Ketika bersekolah saya memilih aliran Sains Sukan dan ketika belajar di universiti saya mengambil Pengajian Perniagaan.
“Saya belajar di universiti demi memenuhi impian ibu bapa yang mahu menyaksikan anak mereka belajar ke peringkat lebih tinggi. Alhamdulillah lulus tepat pada waktunya,” katanya sambil tergelak.
Meskipun kini bergelar selebriti popular dan meraih pendapatan lumayan menerusi karier seni, tegas MK, pendidikan amat penting buat semua individu tidak kira apa jua bidang.














