PETALING JAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan satu kajian yang mengkategorikan nelayan Vietnam sebagai angkatan laut atau militia yang terlatih dan dibentuk sebagai pasukan nelayan profesional.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, siasatan sentiasa dilakukan ke atas segala dakwaan atau perkara yang berlaku.
“Jika ada kesalahan yang dilakukan mana-mana pihak, kita akan tangkap dan sekiranya dikesan terdapat bukti seperti yang dimaklumkan dan masalah antara dua negara, pihaknya akan membincangkan dengan negara terbabit.
“Tapi jika kesalahan itu adalah melibatkan individu tertentu sama ada warga luar atau dalam, kita akan gunakan undang-undang yang sedia ada,” katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Pemerdagangan Orang Sedunia di Rumah Perlindungan Wanita Zon Tengah di Sri Damansara di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Penganalisis Pertahanan, Zaki Salleh berkata, memetik kajian National Institute for South China Sea Studies (NISCS) iaitu organisasi penyelidikan China yang berpangkalan di Hainan, para penganalisisnya mengkategorikan nelayan Vietnam sebagai angkatan laut atau militia yang terlatih dan dibentuk sebagai pasukan nelayan profesional.
Ini kerana angkatan nelayan penting sebagai salah satu penyumbang pada hasil makanan negara berkenaan selain sumbangan ekonomi.
Kajian NISCS pula menganggarkan militia nelayan Vietnam semakin membesar berbanding 12 tahun lalu dengan anggaran antara 46,000 hingga 70,000 orang yang dibahagikan mengikut wilayah operasi masing-masing. – KOSMO! ONLINE.