fbpx
SKUAD catur negara bergambar bersama pingat emas dimenangi selepas muncul juara keseluruhan AUG 2022

Catur sapu bersih, dominasi AUG 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UBON RATCHATHANI – Kebijaksanaan para pemain catur negara ternyata berada dalam kelas berbeza apabila menggondol semua empat pingat emas yang ditawarkan pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022.

Kehebatan permainan yang ditampilkan sejak pusingan pertama pada 29 Julai lalu membolehkan skuad catur mengungguli kategori perseorangan lelaki dan wanita serta berpasukan lelaki dan wanita.

“Alhamdulillah hari ini kita cipta sejarah gemilang dalam sukan catur hari ini kerana kita sapu bersih semua pingat dipertandingkan pada temasya ini.

“Tahniah kepada pemain-pemain yang telah menunjukkan komitmen dan disiplin tinggi. Saya sangat berbangga dengan pencapaian mereka,” kata ketua jurulatih skuad catur AUG, Mohd. Ezmi Mahmood.

Berdasarkan kedudukan selepas tamatnya pusingan terakhir di Fakulti Kesihatan Awam Universiti Ubon Ratchathani Rajabhat hari ini, pingat emas dimenangi Rohan Shan Tze Navaratnam dan perak menjadi milik seorang lagi wakil negara, Mohd. Faqih Aminuddin.

Berdasarkan peraturan kejohanan, hanya dua pemain daripada satu negara sama boleh memenangi pingat yang bermakna Emir Rusyaidi Ahmad Nazari akur gangsa diberikan kepada Kavin Nattavutthisit dari Thailand yang menduduki tangga keempat.

Perkara sama juga untuk kategori wanita apabila menyaksikan empat pemain negara menduduki tangga pertama hingga empat dengan pingat emas dimenangi Tan Li Ting sementara Chua Jia-Tien meraih perak.

Pemain Singapura, Durga Saravanan yang menamatkan pusingan di tempat kelima, memenangi pingat gangsa acara itu.

Berdasarkan kedudukan akhir individu, ia sekali gus membolehkan Malaysia menjuarai acara berpasukan lelaki dan wanita dengan pingat dengan perak untuk kedua-dua kategori itu pula dimenangi oleh Thailand.

Pencapaian skuad catur dalam edisi ke-20 ini melepasi sasaran satu emas ditetapkan dan mengatasi kejayaan memenangi dua pingat emas dan satu perak di Nay Pyi Daw, Myanmar pada 2018. – KOSMO! ONLINE.

POPULAR