fbpx

Banjir Baling : Laporan penuh kajian dibentang di Parlimen esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TAKIYUDDIN (tengah) ketika gimik perasmian Kejohanan Olahraga Tahunan Peringkat Sekolah Tahun 2022 di SK Islah, Kota Bharu hari ini.

KOTA BHARU – Kerajaan akan membentangkan hasil kajian penuh berhubung kejadian kepala air di Kampung Iboi dekat Baling sehingga mengorbankan tiga nyawa di Parlimen esok.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kajian berkenaan kejadian yang berlaku pada awal bulan lalu itu turut melibatkan beberapa kementerian dan kerajaan negeri Kedah.

Menurutnya, beliau difahamkan hasil siasatan berhubung kejadian itu telah siap seperti yang dijanjikan iaitu sebelum 4 Ogos.

“Jadi, saya akan diberi taklimat akhir mengenai hasil kajian itu pada pukul 3 petang ini. Mungkin hari ini atau esok saya akan umumkan hasil daripada siasatan itu.

“Saya juga dimaklumkan banjir masih lagi berlaku di Baling hari ini. Keadaan terkini itu sedang dipantau oleh pihak kerajaan dan kerajaan negeri Kedah,” katanya selepas merasmikan Kejohanan Olahraga Tahunan Peringkat Sekolah Tahun 2022 di Sekolah Kebangsaan Islah di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, kerajaan sentiasa komited untuk menyelesaikan masalah banjir yang berlaku di beberapa kawasan di seluruh negara.

“Oleh itu, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli sedang melancarkan kempen penanaman 100 juta pokok dalam tempoh lima tahun dengan sebanyak 20 juta pokok ditanam setahun.

“Ia merupakan satu usaha agar negara kita diliputi lebih daripada 50 peratus pokok-pokok dan juga tanaman pelitup bumi ini,” katanya.

Tambahnya, beliau mengakui bahawa banjir kilat dan kepala air tidak dapat dihentikan sepenuhnya, namun usaha penanaman pokok itu sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kejadian bencana. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI