REMBAU – Tujuh beranak kini hidup dalam ketakutan apabila rumah pusaka yang didiami sejak enam bulan lalu diserang api misteri yang muncul secara tiba-tiba hingga mengakibatkan banyak barangan di kediaman mereka rosak dalam kejadian di Kampung Chuai Baru di sini.
Setakat ini, rumah itu telah diserang sebanyak 20 kali sejak 23 Julai lalu oleh api yang muncul tidak kira waktu hingga memaksa mereka mendapatkan khidmat empat pengamal perubatan Islam untuk ‘menghalau’ gangguan tersebut tetapi gagal.
Juruelektrik, Mohd. Hafiz Hashim, 42, berkata, dianggarkan api misteri itu muncul tiga kali sehari dan menyambar barangan di dalam rumah.
Katanya, situasi itu menyebabkan jiwanya tak tenteram setiap kali keluar bekerja kerana bimbang sekiranya perkara buruk menimpa isteri, Aidah Md. Zam, 37, dan lima anaknya berusia lapan bulan hingga 10 tahun.

“Saya amat runsing kerana sebelum ini rumah peninggalan arwah bapa, Hashim Alias yang dibina pada penghujung tahun 80-an tersebut tidak pernah mengalami gangguan seperti itu.
“Kami mula menetap di sini sejak enam bulan lalu. Saya tak sangka ia berlaku kepada keluarga kami kerana sebelum ini saya hanya baca mengenai kes sama berlaku di Kelantan dan Melaka,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui.
Menurut Mohd. Hafiz, lebih membuatkannya tertekan apabila persekolahan anak-anaknya tergendala kerana baju seragam mereka terbakar.
Mengimbau semula kejadian itu, Mohd. Hafiz berkata, kejadian pertama disedari oleh isterinya yang berlaku pada pukul 1 tengah hari apabila kusyen berhampiran dapur rumahnya terbakar.
“Pada mulanya kami sangka ia disebabkan oleh anak-anak bermain api. Saya marah dan beri amaran kepada mereka, namun baju dalam bakul pula terbakar selepas itu,” katanya.
Ujar Mohd. Hafiz, kejadian ketiga pada hari sama berlaku apabila dia terhidu asap semasa berkemas dan melihat baju yang digantung di belakang pintu tandas terbakar ketika dia ada di rumah.
“Sejak itu saya rasa tak sedap hati dan menyedari kebakaran itu bukanlah disebabkan oleh anak-anak,” katanya.
Menurut Mohd. Hafiz, mereka kini tak lena tidur kerana bimbang rumah terbakar jika mereka terleka.
“Empat bilik di rumah ini memang tak boleh tidur sebab semuanya sudah terbakar dengan sendiri.
“Api ada di tilam, langsir dan dalam almari. Sudahnya saya bawa semua barang keluar, namun ia tetap terbakar,” katanya.
Ujar Mohd. Hafiz, kejadian terbaharu berlaku semalam dan dia kini sudah berasa agak ‘letih’ berhadapan dengan dugaan tersebut.
“Saya masih mencari pengamal perubatan Islam yang serasi untuk kami sekeluarga. Kejadian ini seolah-olah ingin membuat kami tertekan serta saya juga tidak dapat keluar bekerja seperti biasa.
“Buat masa ini, kebakaran masih boleh dipadamkan oleh kami sekeluarga,” katanya yang turut membuat laporan polis.














