fbpx

Serpihan logam disyaki milik roket China ditemui di Miri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Serpihan logam disyaki sebahagian komponen roket Long March 5B milik negara China yang ditemui penduduk.

MIRI – Polis mengesahkan telah menerima laporan berhubung penemuan serpihan logam dipercayai sebahagian komponen roket Long March 5B milik negara China di Batu Niah di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, serpihan logam terbabit ditemui penduduk di Batu Niah semalam sebelum melaporkan kepada pihak polis pada hari yang sama.

“Hasil tinjauan awal mendapati, terdapat serpihan logam terbenam di dalam tanah pada kedalaman kira-kira satu meter di kawasan rumah salah seorang penduduk.

“Setakat ini, polis tidak dapat mengesahkan asal usul serpihan logam tersebut dan telah meminta bantuan dari beberapa pihak untuk menjalankan analisis di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Katanya, pihak yang terlibat ialah Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Mengulas lanjut, orang ramai dinasihatkan agar tidak berada di kawasan berhampiran kerana dibimbangi serpihan logam tersebut mengandungi bahan radioaktif yang boleh memudaratkan kesihatan.

“Kawasan tersebut sedang dipantau dengan rapi oleh pihak berkuasa bagi memastikan tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita yang tidak benar kerana ia boleh menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.

“Mereka juga disarankan untuk menghubungi balai polis berhampiran untuk menyalurkan maklumat atau mendapatkan kepastian mengenai kejadian yang berlaku,” jelasnya – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI