SEBERANG PERAI – Seorang Pengarah Yayasan Kemajuan India Wilayah Persekutuan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth di sini hari ini atas 11 pertuduhan menyalahgunakan harta yayasan berjumlah RM86,000 tahun lalu.
Tertuduh, M. Govindarajoo, 65, walau bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa secara curangnya telah menyalahgunakan harta iaitu wang berjumlah RM86,000 kepunyaan yayasan di Maybank Berhad cawangan Taman Inderawasih, Seberang Perai Tengah (SPT) pada 25 dan 26 Ogos 2021.
Dalam prosiding sama, Govindarajoo mengaku tidak bersalah atas 11 pertuduhan pilihan melibatkan kesalahan yang dilakukan di tarikh, tempat dan masa yang sama.
Bagi kesalahan berkenaan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Afif Ali menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dengan syarat tambahan dokumen perjalanan diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali.
Bagaimanapun, Govindarajoo yang tidak diwakili peguam merayu supaya jaminan dikurangkan memandangkan dia yang bekerja sebagai konsultan tidak mempunyai pendapatan tetap dan dua daripada tiga anaknya masih menuntut di universiti.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM22,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 1 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes. KOSMO! ONLINE