fbpx

Penganggur ada 5 rekod jenayah ditahan ragut wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

AMPANG – Tindakan seorang penganggur meragut seutas gelang tangan milik seorang pembantu kedai mengundang padah selepas dia ditahan sepasukan polis di sekitar daerah ini semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian berlaku pada Ahad lalu kira-kira pukul 2.15 petang membabitkan seorang wanita berusia 20 tahun di Taman Melawati.

“Menurut mangsa, dia telah dihampiri suspek yang menaiki sebuah motosikal sebelum suspek bertindak meragut gelang tangan yang dipakai di tangan kiri dan terus melarikan diri.

“Akibat kejadian, mangsa telah kerugian sebanyak RM2,000 namun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, bertindak mengikut maklumat, sepasukan polis telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun yang juga seorang penganggur di sekitar Pandan Jaya awal pagi tadi.

“Polis turut merampas sebuah motosikal yang dipercayai digunakan suspek untuk melakukan jenayah. Polis juga menemui satu resit pajak gadai dan sejumlah wang tunai.

“Semakan mendapati, suspek mempunyai lima rekod jenayah dan positif dadah jenis syabu. Modus operandi suspek adalah menyasarkan mangsa yang memakai gelang emas dan berjalan seorang diri di jalan yang sunyi,” jelasnya.

Tambahnya, suspek akan direman di Mahkamah Ampang dan kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana ragut. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI