fbpx

Mahkamah: Hakim lihat banglo didakwa beli guna dana Yayasan Akalbudi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah (tiga dari kiri) ketika tiba di banglo di Country Heights di Kajang hari ini.

KAJANG – Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tiba di unit banglo di Country Heights, Kajang di sini sebentar tadi bagi melihat banglo itu yang didakwa dibeli menggunakan dana Yayasan Akalbudi (YAB) untuk dijadikan pusat pengajian al-Quran bagi golongan yang akan bersara dan pelajar tahfiz.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah tiba pada pukul 10.40 pagi yang mana beliau diiringi beberapa kenderaan polis.

Turut serta dalam lawatan itu ialah Ahmad Zahid serta peguamnya Hisyam Teh Poh Teik dan Hamidi Mohd. Noh.

Pada 6 Julai lalu, dalam prosiding terdahulu hakim Collin yang mendengar perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid bersetuju akan melawat dua unit banglo itu.

Beliau berkata, persetujuan itu selaras dengan permintaan pihak pembelaan untuk melawat banglo berkenaan demi keadilan dalam perbicaraan kes bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Peguam Hisyam yang mewakili Ahmad Zahid ketika prosiding itu berkata, pihaknya menjemput hakim Collin untuk melawat dua banglo berkenaan bagi memberikan gambaran yang jelas kerana pembelian banglo itu terdapat dalam satu daripada 27 pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi anak guamnya dan sering diperkatakan dalam perbicaraan.

Menurut peguam itu, lawatan tersebut dapat memperlihatkan keadaan terkini banglo berkenaan termasuk lokasinya serta jarak banglo itu dengan Surau An-Nur di Country Heights.

Sebelum itu, Ahmad Zahid memberitahu mahkamah bahawa dua banglo berkenaan paling dekat dengan Surau An-Nur di Country Heights dan jauh dari kediamannya yang juga terletak di kawasan berkenaan (Country Heights).

Ahmad Zahid berdepan dengan 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah, lapan rasuah dan 27 penggubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik YAB. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN