fbpx
Pemandu lelaki lebih cenderung menyebabkan kemalangan berbanding wanita.

Lelaki lebih cenderung kemalangan berbanding wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pada setiap tahun, dianggarkan sekitar 1.3 juta nyawa melayang dalam kemalangan jalan raya di seluruh dunia. Antara 20 juta hingga 50 juta mangsa lain pula cedera dengan sebilangan mereka mengalami kecacatan kekal.

Menurut laman web pemantauan toolkit, kerugian akibat kemalangan jalan raya di seluruh dunia mencecah AS$2 trilion(RM8.9 trilion) setahun.

Kemalangan adalah isu serius lantaran menyebabkan anak kehilangan ibu bapa, suami kehilangan isteri. Perkara ini berlaku antaranya kerana jalan raya bukan sekadar laluan menghubungkan berbilang lokasi tetapi menjadi gelanggang pemandu mempamerkan sikap ego, biadab, tamak, pentingkan diri dan pemarah mereka.

Berdasarkan statistik juga, lebih 90 peratus kematian akibat kemalangan berlaku di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana seperti Malaysia. Menurut kajian yang dilakukan sebelum ini, lelaki didapati lebih cenderung terlibat dalam kemalangan berbanding pemandu wanita.

Ini di sebalik pelbagai stigma dilontarkan kepada pemandu wanita seperti tidak cekap, lembab, melulu dan mudah panik. Namun, hakikatnya, sekitar 73 peratus kematian akibat kemalangan jalan raya di dunia ini melibatkan golongan belia lelaki.

Antara faktor utama kemalangan di seluruh dunia adalah kelajuan, kecuaian, memandu di bawah pengaruh alkohol dan melanggar lampu merah.

Semua ciri ini ada pada pemandu di Malaysia di samping perbuatan memberikan isyarat ‘pakai niat’ yang sudah sebati dalam diri mereka.

Hampir setiap hari apabila penulis melayari laman sosial tidak kira Facebook, Twitter, Instagram atau TikTok, ada sahaja klip video paparan nahas jalan raya termasuk kemalangan maut.

Ada juga yang mendakwa bahawa nahas jalan raya di Malaysia tidak banyak berubah berbanding masa lalu. Namun, pada masa dahulu teknologi internet dan laman sosial belum ada justeru, orang ramai hanya maklum mengenai kemalangan teruk sahaja melalui laporan akhbar serta media lain.

Mungkin kekurangan hebahan menjadikan isu ini dianggap sebagai perkara biasa oleh rakyat Malaysia.

Namun, ketika laman sosial menjadi alat hubungan dan hebahan massa paling utama, ditambah pula semakin ramai pemandu memasang kamera seperti gopro dalam kenderaan, maka tidak hairanlah isu kemalangan semakin mendapat perhatian orang awam.

Berbangkit isu bagaimanakah untuk mengurangkan angka kemalangan, penulis tidak mahu menyentuhnya di sini kerana maklum jawapannya tidak akan berkesudahan.

Namun, apa yang penulis ingin katakan adalah supaya setiap kali sebelum kita memandu atau menunggang, niat kita adalah untuk sampai ke tempat dituju dengan selamat dan faham risiko yang kita hadapi ketika di jalan raya.

Biarlah paparan video kemalangan di media sosial mencetuskan kesedaran kepada setiap pemandu bahawa malang tidak berbau dan kita ingin selamat bukan beradu tenaga atau berkonfrontasi dengan pemandu lain walaupun mereka biadab.

Biar beralah asal selamat!

POPULAR

BERITA BERKAITAN