fbpx

Siasatan bekalan elektrik terputus tentukan rebat pengguna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kementerian Tenaga dan Sumber Asli memaklumkan siasatan berhubung kejadian gangguan bekalan elektrik melibatkan beberapa kawasan di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia pada Rabu lalu, dijangka selesai dalam masa satu bulan daripada tarikh kejadian.

Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) masih menjalankan siasatan dalam pelbagai aspek selain meneliti dan menentukan sama ada kejadian tersebut mematuhi Standard Prestasi Perkhidmatan (GSL) TNB atau sebaliknya.

Katanya, siasatan bagi memastikan punca dan kesan gangguan, pematuhan GSL dan seterusnya akan menjadi asas penentuan sama ada pelanggan yang terlibat layak diberikan rebat atau pun tidak.

“Siasatan melalui GSL merupakan dokumen Standard Prestasi Perkhidmatan yang telah ditetapkan Suruhanjaya Tenaga dalam memastikan kualiti bekalan elektrik dan perkhidmatan yang diberikan oleh TNB dalam keadaan yang terbaik.

“Sekiranya pihak TNB gagal mematuhinya, penalti akan dikenakan dalam bentuk rebat kepada pengguna yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Takiyuddin berkata, bagaimanapun, keputusan muktamad kelayakan pelanggan untuk mendapatkan rebat adalah tertakluk kepada hasil siasatan yang sedang dijalankan.

“Pelaksanaan GSL diwujudkan bagi menjaga kepentingan pengguna dan meningkatkan prestasi perkhidmatan TNB. Standard Prestasi Perkhidmatan bekalan elektrik ini boleh didapati di laman sesawang Suruhanjaya Tenaga,” katanya.

27 Julai lalu, Kosmo! Online melaporkan kira-kira sejuta pengguna di beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia dilaporkan terjejas berikutan gangguan bekalan elektrik yang tercetus mulai pulul 12:39 tengah hari.

Bagaimanapun, bekalan elektrik dapat dipulihkan secara berperingkat seawal 20 minit hingga 2 jam 21 minit, iaitu tidak melebihi GSL terkini yang telah diluluskan pada 22 September 2020. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI