fbpx

Padah buka bengkel kereta di kawasan komersial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tanjakan haram bengkel kereta yang dipecahkan oleh jentera MPK.

KLANG – Kedegilan empat buah bengkel kereta menjalankan perniagaan tanpa lesen di kawasan komersial di Taman Intan di sini membawa padah apabila dikenakan kompaun, hari ini.

Dalam Ops Pecah bermula pukul 9 pagi itu, Majlis Perbandaran Klang (MPK) turut ‘memecahkan’ ramp atau tanjakan haram dibina bengkel tersebut.

Timbalan Yang Dipertua MPK, Elya Marini Darmin berkata, tindakan penguatkuasaan ini selepas mereka didapati terus ingkar walaupun nasihat telah diberikan pihaknya.

Katanya, operasi bengkel kereta tidak boleh dijalankan di kawasan komersial sebaliknya di lokaliti industri.

“Salah satu bengkel itu telah beroperasi selama lima tahun dan pernah dikompaun termasuk pada tahun lalu. Khidmat nasihat juga telah diberikan memandangkan operasi bengkel tidak boleh dijalankan di kawasan perniagaan komersial.

“Mereka mempunyai dua pilihan iaitu sama ada berpindah kawasan industri atau menukar perniagaan mereka kepada perkhidmatan atau penjualan aksesori kereta seperti tayar dan penghawa dingin,” katanya ketika ditemui Kosmo! hari ini.

Elya Marini turut menjelaskan tanjakan haram itu diruntuhkan kerana melakukan kesalahan mengikut Akta Parit dan Bangunan kerana didapati telah menganggu lalu lintas dan kawasan siar pejalan kaki.

Tambah beliau, sepanjang operasi itu pihaknya turut menerima alasan lapuk seperti tidak tahu dan tidak faham walaupun telah diberikan teguran sebelum ini.

“Kita memberikan mereka tempoh enam bulan untuk berpindah sebelum tindakan selanjut dilakukan MPK.

“Kes disiasat mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian kerana berniaga tanpa lesen dan Undang-Undang Kecil Iklan (MPK) 2007 dengan nilai kompaun maksimum masing-masing RM1,000,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI