fbpx

Kerja pembersihan buangan kimia di Dengkil selesai – JAS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pekerja pembersihan sedang mengalihkan tong-tong dram mengandungi bahan kimia untuk dilupuskan dalam operasi pembersihan buangan kimia.

PUTRAJAYA – Jabatan Alam Sekitar (JAS) memaklumkan kerja-kerja pembersihan buangan kimia yang ditemui di sebuah tapak pelupusan sampah haram di Dengkil, Selangor baru-baru ini telah selesai dijalankan.

Ketua Pengarahnya, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, kerja pembersihan berkenaan dimulakan pada 9 Julai dan berakhir pada 22 Julai 2022 dengan kerjasama kontraktor yang dilesenkan JAS.

Beliau berkata, ia dilakukan hasil bantuan logistik serta tanah daripada Pejabat Daerah dan Tanah Sepang bagi kerja-kerja menimbus dan meratakan tanah.

“Kerja-kerja pembersihan melibatkan pemindahan sebanyak 15 tong dram 200 liter, tujuh bekas Intermediate Bulk Container (IBC) dan dua beg jumbo mengandungi tanah, plastik dan kain buruk tercemar.

“Tatacara pembersihan dan pelupusan adalah mengikut Prosedur Tetap Operasi (PTO) Pelupusan Haram Buangan Terjadual dan kesemua buangan kimia tersebut telah dilupuskan di fasiliti yang dilesenkan oleh JAS,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Pada 4 Julai lalu, JAS berjaya menemui punca aduan bau buangan kimia iaitu di sebuah tapak pelupusan sampah haram di Kampung Semarang berdekatan Kampung Orang Asli Bukit Jenuk, Sepang. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI