fbpx

Jumlah penduduk Malaysia cecah 32.7 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA- Jumlah penduduk Malaysia pada tahun 2022 dianggarkan seramai 32.7 juta orang berbanding hanya 32.6 juta orang pada tahun lalu dengan menyaksikan kadar pertumbuhan penduduk tahunan sekitar 0.2 peratus.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, penurunan kadar pertumbuhan itu disebabkan jumlah penduduk bukan warganegara lebih rendah iaitu daripada 2.6 juta orang tahun lalu kepada
2.4 juta orang pada 2022.

“Keadaan itu selari dengan sekatan perjalanan antarabangsa oleh kerajaan semasa penularan Covid-19 di seluruh dunia pada tahun 2020 dan 2021.

“Selain itu, warganegara Malaysia pula meningkat daripada 30 juta pada 2021 kepada 30.2 juta orang pada
2022 dengan menyaksikan kadar pertumbuhan penduduk warganegara menurun daripada 0.8 peratus kepada 0.7 peratus bagi tempoh sama,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Mohd. Uzir berkata, statistik terbaharu itu telah disemak semula menerusi Banci Penduduk dan Perumahan 2020 yang dikemaskini berdasarkan rekod kelahiran, kematian dan migrasi antarabangsa tahunan terkini menggunakan sumber data pentadbiran agensi berkaitan.

Katanya, penduduk lelaki juga dilaporkan melebihi perempuan pada tahun 2022 dengan jumlahnya masing-masing mencatatkan sebanyak 17 juta dan 15.7 juta orang.

“Nisbah jantina ialah 109 lelaki bagi setiap 100 perempuan. Bagi tempoh 2021-2022 pula, nisbah jantina bagi warganegara dan bukan warganegara masing-masing kekal pada 103 dan 227 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

“Selain itu, nisbah jantina tinggi bagi lelaki disumbangkan oleh lelaki bukan warganegara,” jelasnya.

Mengulas mengenai komposisi penduduk, Mohd. Uzir berkata, jumlah rakyat berumur antara 0 hingga 14 tahun yang dikategorikan sebagai umur muda menurun kepada 23.2 peratus tahun ini berbanding 23.6 pada 2021.

“Bagi umur bekerja pula iaitu antara 15 hingga 64 tahun, komposisinya meningkat daripada 69.4 peratus pada 2021 kepada 69.5 peratus pada 2022,” katanya.

Menurutnya, peratusan penduduk berumur 65 tahun dan ke atas yang dikategorikan sebagai umur tua meningkat daripada 7 peratus kepada 7.3 peratus bagi tempoh sama.

“Daripada 30.2 juta penduduk warganegara, komposisi Bumiputera meningkat 0.3 peratus kepada 69.9 peratus pada 2022 berbanding 69.6 peratus pada 2021.

“Bagaimanapun, komposisi penduduk Cina dan India masing-masing menurun kepada 22.8 peratus dan 6.6 peratus manakala etnik Lain-lain masing-masing kekal pada 0.7 peratus,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI