fbpx

RUU larangan tukar parti catat sejarah baharu negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri menunjukkan isyarat 'bagus' selepas Dewan Rakyat hari ini bersetuju untuk meluluskan pindaan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 berkenaan peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti.- Foto IHSAN PMO

PUTRAJAYA – Satu lagi sejarah baharu negara tercipta di Dewan Rakyat hari ini apabila pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 berkenaan peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti diluluskan dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, RUU berkenaan diluluskan menerusi undi belah bahagian yang menyaksikan seramai 209 Ahli Parlimen mengundi untuk menyokong, tiada yang menentang atau berkecuali, manakala 11 tidak hadir.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat sama ada daripada blok kerajaan, pembangkang dan bebas yang melakar sejarah pada hari ini.

“Syabas kerana Ahli-ahli Yang Berhormat yang berada di dalam dewan yang mulia telah menjalankan amanah rakyat melalui sistem Demokrasi Berparlimen,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Ismail Sabri, RUU tersebut terhasil selepas pelbagai sesi libat urus, pandangan serta melalui Jawatankuasa Pilihan Khas secara bi-partisan melibatkan wakil parti-parti utama di dalam Dewan Rakyat.

“Rang Undang-Undang ini penting bagi memastikan kestabilan politik yang berpanjangan.

“Terima kasih juga kepada semua 54 Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah menyertai sesi perbahasan dan memberikan pandangan mereka,” ujar beliau.

Tambah beliau, kelulusan RUU berkenaan adalah isyarat jelas bahawa Ahli-ahli Yang Berhormat mengamalkan politik matang berteraskan semangat Keluarga Malaysia dengan meletakkan kepentingan juga kesejahteraan rakyat dalam apa juga perancangan dan pelaksanaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI