SUNGAI PETANI – Berang dilarang menggunakan motosikal, seorang lelaki sanggup mengugut untuk membunuh ibu dan tiga adiknya dalam kejadian di sebuah rumah di Bandar Perdana di sini pada petang ini.
Dalam kejadian pada pukul 2 petang itu, suspek berusia 20 tahun turut memegang sebilah pisau sehingga menakutkan ibunya yang berusia 40 tahun.
Suspek dikatakan mengamuk selepas ibunya tidak membenarkan dia menggunakan motosikal jenis Honda C70.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, suspek yang merupakan pekerja kilang sebelum itu keluar dari rumah selama tiga hari dengan menggunakan motosikal milik ibunya itu tanpa kebenaran.
“Suspek pulang ke rumah pada tengah hari tadi dan mengamuk selepas dimarahi ibunya serta tidak lagi dibenarkan menggunakan motosikal itu.
“Lelaki itu kemudian mengugut untuk membunuh ibu dan tiga adiknya sambil memegang sebilah pisau sebelum ibunya menghubungi polis,” katanya di sini hari ini.
Kata Zaidy, bertindak atas laporan itu, sebuah kereta peronda yang sedang melakukan tugasan di kawasan berkenaan dikerahkan ke rumah itu dan dua anggota kemudian menahan suspek.
“Semakan rekod mendapati lelaki itu tidak mempunyai sebarang kesalahan jenayah lampau tetapi didapati positif dadah jenis methamphetamin,” ujarnya.
Tambahnya, pihaknya sedang menyiapkan dokumen untuk permohonan reman ke atas suspek bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. – KOSMO! ONLINE.